122 Remaja Santuni Pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah

2 Jun 2018, Kuala Terengganu – Sekumpulan remaja telah menyantuni para pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam satu program yang dipanggil ‘Sentuhan Ramadhan’ di sini hari ini. Program ini telah dianjurkan oleh Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Persatuan Pembelajaran Pasca Siswazah Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (PGMES HSNZ).

Program ini telah disertai oleh seramai 122 orang remaja yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 yang bersekolah di sekolah-sekolah di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Sebanyak 150 pek sumbangan yang bernilai RM2500 telah berjaya diagihkan kepada para pesakit di HSNZ. Sumbangan ini diperoleh hasil daripada sumbangan orang ramai.

Dr Nujaimin Udin

Dalam program tersebut, Pengerusi PGMES HSNZ, Dr Nujaimin Udin telah melahirkan rasa bangga atas penglibatan remaja dalam aktiviti kebajikan seperti ini. “Program seperti ini memberi ruang kepada para remaja untuk menghayati makna puasa yang sebenar, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga di siang hari sahaja.”

Ramadhan Awang

“Tahun ini merupakan tahun keempat penganjuran program seperti ini yang melibatkan remaja dan pihak hospital. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat terutamanya pihak hospital yang memberi ruang kepada kami untuk melaksanakan program ini” berkata Ramadhan Awang, Pengarah KRIM cawangan Kuala Terengganu.

Program Sentuhan Ramadhan ini dilaksanakan di bawah pakej Akademi Remaja KRIM yang dijalankan serentak di seluruh negara sepanjang bulan Ramadhan tahun ini. Sekiranya ada remaja yang berminat untuk sertai program seumpama ini, layari facebook.com/krimkt untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *