3 Aspirasi Isma Australia untuk tampil lebih relevan

Oleh :Imran Harith Bin Azmy

ADELAIDE, 3 Okt- Isma Australia telah memperkenalkan 3 Aspirasi Isma Australia di dalam Ucapan Dasar Persidangan Agung Tahunan Isma Australia kali ke-3 oleh Pengerusinya,  Anuar Azemi.

Aspirasi ini diwujudkan bagi memastikan ISMA Australia terus relevan dan mampu memenuhi tuntutan semasa mahasiswa di Australia.

Aspirasi yang pertama adalah Isma Australia menjadi peneraju amal mahasiswa di Australia.

“Kita yakin bahawa Isma Australia akan menjadi satu organisasi yang paling terkehadapan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat kepada mahasiwa malahan juga menjadi organisasi pilihan utama untuk mahasiswa bergiat aktif. ISMA Australia dalam hal ini akan memainkan peranan yang serius dalam membentuk jatidiri belia melalui tarbiah Islam yang menyeluruh dan juga memberi nilai tambah kemahiran kepada belia melalui platform-plaform yang diwujudkan”, kata beliau.

Aspirasi yang kedua ialah Isma Australia memimpin pandangan umum mahasiswa Malaysia.

“Dewasa ini, kita berhadapan dengan pelbagai gelombang pemikiran dan fahaman yang bercampur-baur antara haq dan batil, antara fakta dan persepsi. Masyarakat menjadi keliru dan pendirian mereka menjadi tidak menentu. Masyarakat barat dalam pelbagai hal banyak menggunakan neraca humanisme. Ia secara tidak langsung menampakkan perbuatan ini adalah hak asasi manusia dengan mengemukakakn alasan-alasan yang seakan rasional. Mahasiswa kita sama ada di Malaysia mahupun di luar negara juga tidak terlepas dengan perangkap ini”, tegas beliau.

Aspirasi yang ketiga ialah Isma Australia mendapat kepercayaan masyarakat mahasiswa dalam dan luar negara.

“Aspirasi yang ketiga ini merupakan timbal balik daripada aspirasi yang pertama dan kedua. Kita mengharapkan mahasiswa di sini nampak jelas peranan yang cuba Isma mainkan. Kami juga berharap belia di sini ingin turut serta bersama Isma Australia atau setidaknya menyokong setiap usaha daripada kita,” ujarnya lagi.

Sebagai penutup ucapan, Anuar Azemi mengingatkan supaya setiap mahasiswa yang hadir perlu merasa bahawa merekalah mata rantai kepada kebangkitan Islam dan bangsa Melayu suatu hari nanti.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *