Adakah Rasulullah tidak marah?

“Ahli syurga tidak marah. Hendak masuk syurga jangan marah, tapi adakah Rasulullah tidak marah?” soal Ustazah Saadah kepada para hadirin yang berumur antara 25 hingga 60 tahun dalam sesi Usrah Wanita anjuran Isma Kuala Lumpur.

Ustazah Saadah menerangkan bahawa Rasulullah tidak marah terhadap perkara yang kecil dan remeh tetapi Rasulullah hanya marah apabila perkara tersebut berkaitan syariat.

Ini dapat dilihat dari kisah Rasulullah memarahi Usamah ketika mana Usamah telah membunuh seorang pembunuh yang baru mengucapkan syahadah kerana beliau mengandaikan si fulan hanya mengucapkan syahadah bagi melepaskan diri daripada dibunuh.

Walau bagaimanapun Rasulullah tidak menerima alasan tersebut kerana pada zahirnya dia telah mengucap syahadah. Ini menunjukkan kita hanya perlu mengadili seseorang daripada sudut yang zahirnya sahaja.

Contoh kedua, seorang lelaki memakai cincin emas dan apabila Rasulullah terlihat akan perkara itu lalu baginda mengambilnya dan mencampakkan cincin tersebut.

“Sebab perkara tesebut berkaitan dengan agama kerana adalah haram lelaki memakai emas. Rasulullah marah dan tegur. Tetapi cara Rasulullah tegur dalam keadaan bukan secara terbuka. Rasulullah tidak akan marah dan aibkan orang di khalayak ramai.”

Di akhir Usrah Wanita yang berlangsung dua minggu sekali ini, Ustazah turut berkongsi cara-cara merawat marah yang merupakan tabiat manusia yang beremosi dan ditambah pula dengan hasutan syaitan:

  1. Melatih diri dengan akhlak mulia seperti lemah lembut, sabar dan tenang dalam pengurusan.
  2. Mengawal diri ketika marah. Mengingati akibat menahan kemarahan, seseorang akan mendapat syurga, makfirah dan keampunan Allah.
  3. Meminta perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.
  4. Mengubah kedudukan. Seperti mana saranan hadis nabi, “Orang yang marah dalam keadaan berdiri, hendaklah duduk. Jika duduk hendaklah baring.”
  5. Menahan diri untuk bercakap atau berdiam diri ketika berasa marah. Apabila bercakap, seseorang akan menambahkan lagi kemarahan dengan kata-kata yang dikeluarkan.
  6. Mengambil wuduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *