Agama adalah Asas, Siasah adalah Penjaga – Presiden ISMA

Agama adalah asas, siasah adalah penjaga. Barang yang tidak ada asas ia akan runtuh dan barang yang tidak ada penjaga akan hilang.

Demikian hubungan agama dan politik dalam Islam seperti yang digambarkan oleh Sheikhul al Islam Imama al Ghazali Ramahullah.

Demikian rapatnya hubungan antara politik dan agama mengikut Islam, seperti dua wajah syiling yang sama. Sebelah agama dan sebelah lagi politik (kekuasaan).

Agama tanpa politik yang menjaganya akan hilang dan politik tanpa asas agama adalah politik yang runtuh dan meruntuhkan.

Hari ini kita menyaksikan debat politik yang hangat di kalangan anak muda. Perbezaan ketara antara mereka yang melihat daripada sudut Islam (Islamis) dengan mereka yang memandang dari sudut liberal sekular.

Golongan Islamis menilai daripada sudut politik/kuasa yang menjaga agama Islam dan kedaulatan umat Islam dan bangsa Melayu, manakala golongan liberal sekular membuang kepentingan menjaga agama dan bangsa daripada pertimbangan politik mereka.

Golongan Islamis menangisi nasib agama dan umat yang kehilangan kuasa dalam politik sebaliknya golongan liberal sekular tidak kisah kerana semua agama dan bangsa sama sahaja.

Seperti kata Imam Ghazali, politik umat Islam tanpa agama akan runtuh dan agama Islam tanpa kuasa politik akan hilang,

Namun ia tidak menjadi isu bagi puak liberal sekular kerana pertalian mereka dengan agama dan bangsa telah lama terputus dan mereka bersedia memberi wala’ kepada sesiapa sahaja yang kononnya memberikan mereka janji kebebasan, kesamarataan dan sebagainya.

Mereka langsung tidak sedar bahawa janji-janji kebebasan, kesamarataan itu sama sekali tidak memihak kepada mereka.

Mereka tidak dapat menyelami atau menyedari bahawa janji-janji itu telah membuka ruang yang luas kepada agama lain dan bangsa lain untuk merampas yang berbaki daripada kuasa dan kekayaan negara daripada tangan mereka.

Media dan propaganda liberal benar-benar menguasai minda mereka sehingga mereka tidak dapat membezakan kegelinciran segelintir pemimpin umat Islam dengan kepentingan Islam dan umat Islam.

Mereka melihat sudut itu pada Islam dan umat Islam sahaja dan mereka gagal melihat orang bukan Islam yang mereka sedang junjung itu sedang merampas hak mereka. Bahkan mereka bangga bersama dengan golongan bukan Islam itu atas nama keadilan, kebebasan, kesamarataan memijak-mijak dan menghina bangsa sendiri.

Abdullah Zaik Abd Rahman (S.M.T)
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *