Akhlak yang baik perlu dipupuk sejak kecil

shah alam

Shah Alam, 15 Feb – “Akhlak yang baik boleh diperolehi jika dilatih sejak lahir dan berdampingan bersama orang yang berakhlak mulia” kata Ustaz Sulaiman, aktivis ISMA Klang dalam program Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) yang diadakan di pejabat ISMA cawangan Shah Alam.

Menurut beliau, seseorang yang mempunyai akhlak yang baik tidak perlu berfikir ketika melakukan perkara yang baik, kerana akan dilakukan secara spontan dan perkara ini perlu dipupuk supaya ianya berterusan.

“Berbeza pula dengan akhlak yang buruk, akhlak yang buruk menunjukkan bahawa seseorang itu mempunyai penyakit hati dan perlulah dirawat dan dibersihkan walaupun sukar,” ujarnya.

Tambah Ustaz Sulaiman lagi, mereka yang beranggapan bahawa akhlak tidak boleh berubah dan merupakan tugas yang berat, mereka tidak akan berusaha merawat dan membaiki akhlak seterusnya membiarkan akhlak mereka atau orang sekeliling mereka bertambah rosak.

Beliau menegaskan bahawa jangan sesekali berfikir bahawa akhlak tidak boleh diubah dan ianya akan kekal kerana tanggapan ini salah.

“Sekiranya akhlak itu kekal dan tidak boleh berubah, maka segala nasihat adalah sia-sia” tegasnya mengakhiri tazkirah.

MABIT ini merupakan program bulanan yang bersifat pengisian rohani melibatkan semua ahli ISMA Shah Alam, di samping itu juga sebagai medium untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli.

Disediakan oleh : Mohd Haziqq bin Mohd Isa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *