Aktivis Wanita Isma dituntut untuk ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkorban – Ketua Wanita Isma

Oleh: Siti Nurliyana Saifollah

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Aktivis Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dituntut untuk sentiasa memasang niat yang ikhlas, bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban demi mencapai kejayaan dalam setiap aktiviti dan perkara yang dirancang.

Menurut Ketua Wanita Isma, Ustazah Dr Norsaleha Mohd Salleh, cita-cita tertinggi yang perlu ditanam dalam diri setiap aktivis adalah untuk meraih syurga Allah. Justeru, keikhlasan menjadi syarat penting dalam beramal dan merupakan hijab antara diri seseorang dengan iblis.

“Ikhlas adalah hijab antara manusia dengan iblis. Wanita Isma perlu terus ikhlas dan berusaha untuk menyumbang apa sahaja ke arah memastikan kesempurnaan dan kejayaan setiap aktiviti yang dirancang,“ jelasnya.

Beliau turut menambah, sesungguhnya setiap kejayaan yang dikecapi pasti menuntut nilai pengorbanan sama ada dari segi harta, jiwa atau masa.

“Oleh itu, adalah amat penting bagi setiap wanita yang ingin beraktivisme bersama Wanita Isma memasang niat yang ikhlas, bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban agar dapat terus menjadi individu kompeten dalam organisasi,” ucap beliau sempena perasmian Perhimpunan Hi-Tea Wanita Isma Johor Bahru (PERTeaWI) di sini, baru-baru ini.

PERTeaWI merupakan program yang julung kali dianjurkan oleh Wanita Isma Johor Bahru sebagai inisiatif menyatukan dan mengeratkan hubungan sesama ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *