Surah Al-Kahfi dan fitnah Dajjal

Dajjal dajal

Topik Dajjal al-Masih sangat panjang perbahasannya. Hadis-hadis yang berkaitan ada yang sahih, dhoif dan palsu. Adakah Dajjal Al-Masih seorang individu atau ramai atau ada kaitan dengan gerakan kumpulan tertentu?

 

Fitnah Dajjal

Dari Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah saw bersabda :

“Tidak seorang nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis ‘kaf’ ‘fa’ ‘ra’.”

[Sahih Muslim no 5219]

Anas bin Malik ra menceritakan bahawa Nabi saw bersabda :

“Tidak ada satu negeri yang tidak dimasuki Dajjal, kecuali Mekah dan Madinah dan tidak ada satu jalan di Madinah, kecuali terdapat malaikat yang berbaris menjaganya. Maka Dajjal singgah di daerah Rawa, kemudian Madinah bergoncang tiga kali goncangan sehingga seluruh orang kafir dan munafiq keluar dari sana menuju ke tempat Dajjal.”

[Sahih Muslim no 5236]

 

Menghindari Fitnah Dajjal

  1. Berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Seseorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam pasti tidak akan tertipu dengan fitnah dajjal. Namun tidak memadai hanya dengan menghafaz 10 ayat al-Kahfi semata-mata untuk tujuan mendapat fadhilat, sedangkan cara hidup tidak mengikut ajaran Islam sebenar. Hendaklah berpegang teguh dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

  1. Doa mohon perlindungan dari fitnah Dajjal. Dibaca selepas Tasyahhud akhir dan sebelum memberi Salam.

“Jika salah seorang di antara kamu melakukan tasyahhud, mintalah perlindungan pada Allah dari empat perkara : Ya Allah, aku meminta perlindungan pada-Mu dari seksa jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari kejelekan fitnah Al-Masih ad Dajjal”

[HR Muslim no 588, Ahmad, Abu Daud dan An-Nasaei sanad SAHIH]
  1. Menghafaz Surah Al-Kahfi.

Ada beberapa riwayat sahih mengatakan bahawa Nabi saw menyarankan supaya menghafaz 10 ayat pertama dan ada riwayat mengatakan 10 ayat yang terakhir dari surah Al-Kahfi agar terlindung dari fitnah Dajjal.

Dari Abu Darda’, ia berkata bahawa Nabi saw bersabda :

“Barangsiapa menghafaz sepuluh ayat pertama dari surah al-Kahfi, maka ia akan terlindung dari (fitnah) Dajjal”

[Sahih Muslim no 809]

Dari An-Nawas bin Sam’an, ia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa di antara kamu mendapati zamannya Dajjal, bacalah awal-awal surah al-Kahfi”

[Sahih Muslim no 2937]

Dari Abu Darda’, ia berkata bahawa Nabi saw bersabda :

“Barangsiapa membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, maka ia akan terlindung dari fitnah Dajjal”.

 

Hajjaj berkata “Barangsiapa membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi..”

[HR Ahmad 6/446]

 

Imam Nawawi rh dalam Syarah Sahih Muslim 6/93 berkata :

Kenapa yang dianjurkan untuk dibaca adalah surah al-Kahfi? Kerana di awal surah tersebut terdapat ayat-ayat yang menakjubkan. Siapa yang mahu merenungnya, nescaya ia akan terlindung dari fitnah Dajjal. Sebagaimana yang terdapat dalam 10 ayat terakhir surah al-Kahfi ;

“Maka apakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil (hamba-hamba Ku menjadi penolong selain Aku)”

[Al-Kahfi : 102]

 

  1. Menjauhi dari Dajjal.

 

Boleh jadi seseorang itu menyangka memiliki iman yang kukuh, namun ia terperangkap syubhat Dajjal. Akhirnya menjadi pengikut setianya.

Dari Imran bin Husain, ia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda : “Barangsiapa mendapati kemunculan Dajjal, maka menjauhlah darinya. Demi Allah ada seseorang yang mendatangi Dajjal dan ia mengira bahawa ia punya iman (yang kukuh), malah ia menjadi pengikut Dajjal kerana ia terkena syubhatnya ketika Dajjal itu muncul.”

[HR Abu Daud 4319 dan Ahmad 4:441. Al-Albani mengatakan Sahih]

 

Disunnahkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Dalam hadis dari Abu Said Al-Khudri, Nabi saw bersabda :

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat”.

[HR al-Baihaqi dalam al-Kubro 3:249. Al-Albani mengatakan Sahih sebagaimana dalam Sohihul Jami’ no 6470]

 

Di dalam surah al-Kahfi terdapat banyak kisah yang dapat dijadikan pengajaran. Di antaranya kisah Ashab al-Kahfi (penghuni gua), kisah Musa dan Khidir, kisah Dzulqarnain, juga terdapat penetapan hari kebangkitan. Oleh kerana itu surah ini sewajarnya dibaca, dihayati tafsirannya dan sebolehnya dihafaz.

 

Kesimpulan

Anjuran membaca ayat surah Al-Kahfi tidak boleh difahami sebagai berikut :

“….. dengan bersandar pada bacaan surah Al-Kahfi kita akan selamat dari fitnah dajjal.”

Jangan memahami hadis ini di luar konteks, iaitu menjadikan ayat surah Al-Kahfi sebagai “Tangkal dan Azimat” semata-mata. Sepatutnya menjadikan ayat Al-Kahfi ini sebagai pendorong untuk memperkukuhkan aqidah dan iman.

Ketika Nabi Muhammad saw mengungkapkan hadis ini di hadapan para sahabat ra, rata-rata sahabat telah memiliki kualiti iman di tahap tertinggi. Kombinasi antara iman yang mantap serta mu’jizat ayat Al-Kahfi, maka Fitnah Dajjal tidak mampu untuk menembusi mukminin walau dari posisi mana pun. Inilah piawai utama di dalam menghadapi Fitnah Dajjal.

Iman bukanlah bacaan segunung kitab dan hafazan ayat Al-Quran semata-mata, tetapi natijah  dari bacaan dan hafazan itu ; menghasilkan iman dan amal yang menjadikan seseorang itu benar-benar sejahtera aqidahnya dan berkualiti imannya.

Tema pertarungan Dajjal dan Mukminin adalah untuk menguji kekebalan aqidah. Dajjal mahu kita mengakuinya sebagai Tuhan. Inilah yang dikatakan fitnah terbesar akhir zaman ; berlaku krisis keyakinan terhadap Allah sebagai pencipta, pentadbir dan penguasa alam ini.

Tarbiyah Islamiyyah yang mantap dari awal usia adalah skim perlindungan terbaik untuk melindungi diri dan ahli keluarga dari fitnah Dajjal Al-Masih.

rahman iskandar rais

 

 

 

 

 

 

Ustaz Abdul Rahman Iskandar
Ketua Biro Dakwah ISMA Kota Bharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *