Ancaman liberalisme perlu ditangani segera

ustaz shuhaib ar-rumy selamat isma melaka
DURIAN TUNGGAL, 25 Mei – Ancaman liberalisme perlu ditangani segera. Demikian tegas Timbalan Pengerusi Biro Dakwah ISMA Melaka Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat al Hafiz dalam siri Kempen Selamatkan Ummah anjuran ISMA Melaka bertempat di Masjid An Naim di sini Jumaat lalu.

Ustaz Shuhaib berkata salah satu cara menangani ancaman liberalisme adalah ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan sebagai insan yang paling hampir dengan anak-anak dalam menanamkan ajaran Islam yang sebenar dalam menguatkan jati diri dan keyakinan mereka. Ini dapat dicontohi melalui pesanan Nabi Yaakob ketika hampir kematiannya kepada anak-anaknya supaya kekal menyembah Allah dan tidak mensyirikkannya.

“Adakah kamu menyaksikan ketika Yaakob hampir menemui kematian ketika itu berkata kepada anak-anaknya; Apakah yang kamu akan sembah selepas kematianku?’ Jawab mereka; ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapamu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang maha esa dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (Baqarah: 133).

Menurut beliau lagi, masyarakat juga perlu diberi pemahaman tentang ancaman yang dibawa oleh fahaman liberalisme agama terhadap akidah umat Islam di mana sekiranya kita menyoroti sejarah Tanah Melayu, antara faktor yang menyebabkan Tanah Melayu tidak dapat dikristiankan oleh penjajah barat seperti yang berlaku di Indonesia dan Filipina adalah kekuatan agama Islam yang terpasak kukuh dalam diri masyarakat Melayu ketika itu.

Ustaz Shuhaib menambah, usaha membendung fahaman ini boleh dilakukan dengan memberi penerangan terhadap prinsip-prinsip asas akidah Islam serta nilai yang dibawa syariat Islam.

Justeru, umat Islam yang dilengkapi dengan kekuatan ilmu dalam memahami prinsip serta ajaran Islam yang sebenar tidak akan mudah terpengaruh dan akan dapat mematahkan serangan dan fahaman liberalisme.

Turut hadir memeriahkan Kempen Selamatkan Ummah adalah Yang Dipertua ISMA Melaka, saudara Amru Iskandar bin Borhan serta Ahli Jawatankuasa yang lain.

Sumber: www.ismamelaka.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *