Angkat istilah Islamofasisme serlah kekeliruan anti-Islam

Kelompok anti Islam, anti-Hadis, anti-Ulama’, anti-institusi Islam dan anti-pembudayaan Islam seperti Akhtar Husayn, Mohamed Sifaoui, Farouk Peru dan rakan Farouk di kalangan kolumnis The Malay Mail Online serta media seangkatan dengannya cuba mengangkat dan mempopularkan naratif ‘Islamofasisme’. Mereka yang mengangkat istilah tersebut, yang dipinjam daripada gerakan Fasisme di Barat suatu ketika dahulu, kelihatan begitu selektif dalam membuat serangan.

Mereka dilihat menentang apa sahaja bentuk autoriti dan kuasa yang kepada mana-mana institusi agama. Sebutlah apa sahaja intitusi agama, mereka pasti akan tentang dan serang. Daripada majlis agama Islam negeri, badan-badan penguatkuasa agama, badan pencegah jenayah syariah, institusi zakat, mahkamah syariah, institusi masjid, Tabung Haji dan saya kira sedikit masa lagi mereka akan serang juga sistem kewangan dan perbankan Islam serta kedudukan Institusi Raja-raja Melayu sebagai Ketua-ketua Agama Islam di Malaysia.

Mereka mahu agama Islam hanya dihadkan kepada amalan individu, seperti solat, puasa, zakat dan haji. Bahkan amalan individu ini perlu diberikan kebebasan tentang bagaimana ia dilakukan termasuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu.

Mereka mendakwa diri mereka sebagai golongan akademik, berfikiran kritis, bebas, adil dan sebagainya. Mereka mengaku menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi menolak hadis-hadis dan menganggapnya sebagai intepretasi ulama’ yang tidak boleh diterima. Mereka mahu bebas mentafsirkan mana-mana ayat Al-Quran mengikut kehendak mereka.

Dari segi istilah, fasisme didefinisikan sebagai suatu pemikiran autoritarian berasaskan agama dan bangsa. Oleh kerana itu mereka memperjuangkan ideologi liberalisme sekular yang memisahkan urusan-urusan agama daripada sistem-sistem kehidupan.

Dalam satu temuramah di antara Middle East Forum yang mengangkat motto ‘Mempromosikan Kepentingan Amerika’ dengan Mohamed Sifaoui, beliau dengan jelas menyatakan Islamisme yang menentang kewujudan negara Yahudi Israel sebagai fasisme.

Kata Sifaoui, “I certainly am one of the first Muslims to consider Islamism to be fascism. This is not a subjective decision but rather a serious, academic argument. Fascism and Islamism are comparable in many aspects: Fascism, without evoking all its particularities, bears similarities to trends also present in Islamism. I am, of course, making a reference to their will to exterminate the Jews.”

Sungguh ironi. Kita tidak jumpa pula pandangan dan pendirian mereka berkenaan sifat fasisme penjajahan Zionis Israel, suatu gerakan pengganas dan penjajah antarabangsa berasaskan agama Yahudi dan bangsa Yahudi, yang membunuh rakyat Palestin dan menjarah bumi mereka. Umat Islam yang bangkit melawan penjajahan ini pula yang dipersalahkan.

Jika mereka mampu sehingga mencadangkan solat Jumaat dilakukan pada hari Sabtu, mungkin tidak lama lagi akan terpacul cadangan untuk umat Islam menerima ibadah haji dilakukan selain di Mekah (di Karbala mungkin?) bagi mengatasi masalah kesesakan jemaah haji saban tahun. Begitu juga, menerima supaya Masjid Al-Aqsa baru bagi umat Islam dibina di tempat lain bagi mengelakkan pertumpahan darah di Baitul Maqdis.

Sedikit kesimpulan awal saya berkenaan kelompok ini adalah:

1. Mereka berpura-pura di sebalik topeng akademik dan intelek.

2. Mereka adalah musuh kepada kedaulatan negara Malaysia dan pendirian mereka bertentangan dengan perlembagaan negara.

3. Mereka secara sedar dan langsung atau tidak, memperjuangkan hegemoni Zionis dalam menindas rakyat Palestin.

Ustaz Salman Abdul Rahman
Aktivis Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *