Antara Peraturan Sukan dan Peraturan Allah

rio

Kemeriahan sambutan bulan Ogos 2016  sebagai bulan kemerdekaan negara dibayangi dengan kehangatan temasya sukan Olimpik Rio 2016. Peringkat dalam negara pula kita dihangatkan dengan insiden-insiden sukan bolasepak tanahair samada insiden di dalam padang mahupun polemik pengurusan bolasepak negara. Secara umumnya Islam tidak memusuhi sukan. Bahkan Islam melihat sukan sebagai salah satu bentuk kehidupan manusia yang sangat perlu diberi sentuhan hukum agar ia tetap dikira sebagai ibadah kepada Allah SWT. Bahkan al Quran menganalogikan kehidupan ini sebagai satu bentuk permainan lantas mengingatkan kita agar berhati-hati dengan permainan ini . Firman Allah SWT dalam surah al Hadid ayat 20:

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Hakikatnya kita semua sedang “bermain” di atas padang permainan dunia yang luas ini. Setiap permainan ada peraturannya. Ada peraturan berpakaian mahupun ada undang-undang pertandingan yang wajib dipatuhi oleh setiap pemain. Sesiapa yang melanggar peraturan akan dikenakan denda tertentu ataupun dilarang meneruskan pertandingan mahupun perlawanan. Hatta permainan di dalam peranti gajetpun ada peraturan yang perlu dipatuhi. Sudah tentu permainan pokemon go ada peraturannya.

Itulah hakikat kehidupan di dunia sementara ini. Kita perlu akur dan taat kepada semua peraturan “pertandingan” di atas dunia ini. Peraturan-peraturan ini dinamakan sistem hidup Islam yang dikanunkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Kita sebagai hambaNya sepatutnya akur dengan semua peraturan ini. Firman Allah SWT dalam surah al ahzab ayat 36 :

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Tetapi malangnya keimanan dan aqal kita gagal menyampaikan kita kepada hakikat yang perlu kita insafi tatkala kita sedang minat mengikuti perkembangan sukan yang kita minati samada sebagai pemain, penonton, penganalisa, pentadbir mahupun penaja sukan bahawa kalau di dalam dunia sukan, begitu bersungguh-sungguhnya segala peraturan dipatuhi mengapa tidak peraturan Allah lebih-lebih lagi WAJIB kita patuhi jika mahu terus “bermain” di gelanggang dunia  yang di sediakan oleh Allah ini. Jika berlaku pertembungan antara peraturan manusia dan peraturan Allah, sudah tentu peraturan Allah wajib diutamakan. Pemain tidak boleh sewenang-wenangnya beralasan hak asasi dirinya untuk sesuka hati berpakaian apa yang dia suka dan bermain mengikut apa yang dia mahu. Dia wajib mengikut segala peraturan jika pertandingan dibuat secara rasmi. Begitulah hakikat keidupan ini. Kita tertakluk kepada semua peraturan Allah SWT. Tidak boleh beralasan hak asasi manusia untuk bertindak sesuka hati dan melanggar semua hak-hak Allah SWT. Peraturan Allah ini tidak mengecualikan hamba-hambaNya samada dia seorang rakyat marhain mahupun dia seorang raja.

Dalam berpakaian contohnya , ada sukan tertentu yang menetap kod pakaian tertentu. Semua peserta dan pemain  perlu akur untuk memastikan ia boleh terus bertanding dan tidak dihalang daripada menyertainya.

Kita sebagai ‘pemain’ di atas gelanggang besar Allah ini juga ada kod berpakaian yang diwajibkan ke atas kita. Lelaki dan wanita ada kod pakaian “bersukan” tersendiri ketika beraksi di atas muka bumi dikenali sebagai kewajiban menutup aurat. Hak asasi manusia adalah untuk mentaati hak Allah bukan sebaliknya mencabar nya dengan alasan menyongsang iaitu hak asasi manusia perlu didahulukan dari hak Allah.

Semoga kita semua menjadi pemain yang berjaya di dunia dan akhirat!

Sahibus Samahah Hj Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak

-sumber : Sinar Harian-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *