Apakah nilai satu strip panadol bagi anda?

Bagi kebanyakan kita, ubat panadol merupakan ubat yang amat biasa bagi kita. Demam sedikit, ambil panadol. Walau bagaimanapun, perkongsian berikut oleh Dr Mohd Khairol Jambli mungkin boleh mengubah cara pandang kita terhadap nilai satu strip ubat panadol dan menghayati kesukaran penduduk luar bandar. Berikut merupakan perkongsian beliau yang dipetik dari Facebook.

 

Senario 1

“Udah 2 minggu kitak demam tok? Kenak sik pergi klinik? (Dah dua minggu sakit ni, kenapa tak pergi klinik?)”, soalku dengan nada suara yang sedikit tinggi kepada pesakit. Pesakit tadi senyap.

“Sik ada duit doktor. Mun mauk pergi klinik kenak ada RM50 kurang-kurang (Tak ada duit doktor, kalau nak ke klinik kena ada lebih kurang RM50),” jawapnya sedikit sedih.

Aku terus tergamam.

Senario 2

“Bapak kitak tok kenak embak ke hospital, ubatnya sik ada kamek embak (Bapa kamu ni kena bawa ke hospital, kami tak bawa ubat yang sesuai untuk dia),” kataku menasihati seorang pemuda selepas memeriksa ayahnya yang terkena strok. Raut wajah anaknya menjadi sedih.

“Sik mampu kamek doktor mauk ngembaknya nyeberang sungei lepas ya ke hospital. Berik jak apa-apa ubat jak doktor ( Tak mampu saya doktor nak membawanya menyeberangi sungai dan kemudian ke hospital, doktor bagi je lah apa-apa ubat yang ada je).”

Jauh di dalam, hatiku merintih.

Semasa perjalanan balik dari misi banjir, hati ini terus menangis walaupun senyuman dan gelak ketawa diberikan buat rakan-rakan sukarelawan. Ketika sedang memandu, semasa rakan-rakan sukarelawan tengah tertidur keletihan di dalam kereta, tanpaku sedari, air mata mengalir dengan sendirinya apabila teringat pesakit tadi. Cepat-cepatku sapu dengan hujung lengan baju. Nasib baik tak ada yang sedar.

Sungguh bernilai rupanya misi perubatan kami dimata mereka, walaupun kadang-kadang kami sendiri tak menyedarinya. Bayangkan di dalam satu-satu misi perubatan kami merawat hampir seratus orang pesakit. Jika setiap orang perlukan RM50 untuk ke klinik berdekatan, maka kami dah menjimatkan hampir RM5000 duit penduduk kampong.

Pernah satu ketika dahulu semasa menjadi doktor muda di Perkhidmatan Doktor Udara (di Sarawak) aku memandang sinis usaha seorang MA yang memberikan satu strip panadol kepada setiap seorang penduduk yang datang kerana aku merasakan mereka tidak sakit, dan tidak perlu diberikan Panadol.

KINI, setelah berada di dalam perkhidmatan perubatan hampir 16 tahun, barulah aku sedar besarnya nilai satu strip panadol untuk mereka.

BUKAN HARGA PANADOL YANG MENJADI NILAI,
TAPI PENGORBANAN UNTUK MENDAPATKANNYA YANG MENJADI UKURAN.
JADI…!!!
APAKAH NILAI SATU STRIP PANADOL BAGI ANDA?

Marilah kita sama-sama menyumbang ataupun paling kurang mengajak rakan-rakan kita untuk terus menyumbang untuk misi-misi perubatan anjuran I- Medik dan Yayasan Ikhlas dengan kerjasama HIKMAH Sarawak…

WALAUPUN DENGAN HANYA WANG BERNILAI SATU STRIP PANADOL

P/s – sila PM saya ataupun rujuk pada poster yang tertera.
Sila paling kurang LIKE dan SHARE, supaya lebih ramai rakan-rakan anda yang tahu. Yayasan Ikhlas – Sarawak i-Medik Sarawak

(Dr Mohd Khairol Jambli ialah JK Eksekutif Yayasan Ikhlas, dan Koordinator untuk Misi Bantuan Perubatan Sarawak anjuran I- Medik dan Yayasan Ikhlas dengan kerjasama HIKMAH Sarawak. Catatan perjalanan beliau boleh diikuti di https://www.facebook.com/DrMohdKhairolJambli.fans/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *