Kolerasi antara media dengan umat Islam

 ISMA johor

Oleh Nur Huda Binti Mohamad

John Logie Baird dan Alexander Graham Bell adalah antara wakil yang menunjukkan dominasi Barat ke atas media dengan penciptaan  sistem televisyen dan telefon pertama di dunia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, media merupakan pelbagai jenis saluran, perantara komunikasi, alat atau saluran komunikasi amnya atau keseluruhannya.

Variasi komponen yang menghuni istilah media tidak kira massa, sosial, cetak mahupun elektronik masih lagi memikul satu visi yang sama iaitu bagi tujuan komunikasi. Namun demikian, apabila dilihat kembali perkembangan media akhir-akhir ini yang terlalu pesat kadangkala menjadikan umat Islam terbuai dengan alunan teknologi yang dialunkan oleh musuh-musuh agama.

Kolerasi perdana antara media dengan umat Islam adalah menerusi cara hidup. Umat membawa maksud masyarakat atau bangsa.  Maka, apabila wujud masyarakat Islam di sesuatu kawasan, cara hidupnya juga hendaklah berkiblatkan Islam.

Lambakan pengaruh negatif dari luar yang menyerap masuk ke dalam Malaysia telah mengakibatkan minda umat Islam berkecamuk lantas tidak dapat membezakan yang mana hak dan batil. Media elektronik melalui televisyen misalnya, seringkali memaparkan imej masyarakat Barat dari segi fesyen, adat dan budaya untuk dilihat oleh penduduk dunia.

Mengambil salah satu contoh kebiasaan masyarakat Islam pada masa ini iaitu ketika sambutan hari lahir, lilin pasti tidak akan ketinggalan. Jika dikaji, budaya meniup lilin ini dipercayai berasal daripada amalan orang Nasrani. Rasulullah SAW bersabda : “barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka” (HR. Abu Dawud) .

Jadi sudah jelas menunjukkan bahawa cara hidup Islam tidak boleh dicemari dengan mana-mana elemen hatta pada sekecil-kecil perkara demi memastikan kemantapan akidah umat terus terpelihara.

Selain itu, kolerasi kedua antara media dengan umat Islam adalah melalui sudut pandangan. Umum sedia maklum mengenai peristiwa 11 September 2001 di mana empat serangan berani mati oleh pihak yang didakwa anggota al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat yang telah meragut nyawa dan memusnahkan beberapa kawasan seperti Menara Berkembar World Trade Center, bangunan Pentagon dan sekitar Shanksville merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi corak penglihatan penduduk dunia ke atas Islam.

Media cetak seperti majalah TIME contohnya, mengambil peluang yang terserlah selepas peristiwa tersebut untuk melabel Islam sebagai berkaitan terorisme dengan lebih meluas berbanding dalam edisinya yang lain. Di samping itu, penerbitan filem ‘Fitna’ oleh ahli politik Belanda bernama Geert Wilders yang kemudiannya disiarkan secara berleluasa menyebabkan masyarakat umum mempunyai pandangan yang amat negatif terhadap Islam khususnya al-Quran.

Pada hakikatnya, bukan semua perkara yang disajikan oleh media berpaksikan kebenaran kerana ada di antaranya telah ditokok-tambah demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak. Maka, jelaslah bahawa umat Islam dan masyarakat dunia perlu mencelikkan mata dan akal mereka dalam menapis setiap maklumat agar tiada salah faham dan diskriminasi yang tercetus.

Kolerasi antara media dengan umat Islam yang seterusnya adalah melalui medium dakwah. Sedar atau tidak, kepesatan teknologi dan pembangunan media pada ketika ini adalah ibarat sinar radioaktif. Suka atau benci tidak akan memberikan kita dimensi yang berbeza untuk meneruskan kehidupan memandangkan sinarannya mencakupi seantero dunia. Memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq, “jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah” mampu menjadi indikator untuk menjelaskan bahawa, meskipun input yang diberikan adalah bertujuan buruk, tetapi kita masih mampu memberikan output yang baik kepada masyarakat.

Justeru, salah satu caranya adalah berdakwah melalui media. Media sosial menerusi aplikasi Whatsapp tamsilnya, menyediakan alternatif yang amat mudah bagi umat Islam untuk berdakwah dengan hanya beberapa klik di skrin telefon bimbit atau komputer, mesej tersebut akan tersebar ke seluruh dunia. Nah, jelaslah bahawa media mampu menjadi sahabat atau musuh kepada umat Islam bergantung kepada cara ia digunakan.

Konklusinya, dalam meniti arus globalisasi yang kian menghambat belakangan ini, peranan media tidak boleh dipandang enteng kerana ia memiliki kolerasi yang signifikan dengan perkembangan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, masyarakat Islam haruslah mengambil langkah yang pragmatik dalam menjamin kesucian agama yang selama ini menjadi pegangan mereka tidak terlepas dari genggaman.