Asas pembentukan pemimpin perlu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah supaya selari dengan syariat

Oleh : Muhammad Taqiuddeen Bariman

JOHOR BAHRU, 9 Februari – Pengaruh pemimpin memainkan peranan yang sangat besar dalam melestarikan kehidupan yang aman dan stabil. Dalam pembentukan seseorang pemimpin, asasnya perlulah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah supaya gaya pentadbiran yang diterapkan selari dengan syariat.

Menurut Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, kepimpinan yang diperoleh merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoal di akhirat kelak.

“Dalam surah Al-Mulk, Allah telah sebut manusia akan diuji siapakah yang lebih baik amalnya. Justeru, setiap individu khususnya pemimpin, perlulah mengisi diri dengan ilmu yang secukupnya supaya terhindar daripada perbuatan tercela,” ujarnya dalam program Nadwah Kepimpinan Pelajar anjuran Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) zon Selatan, baru-baru ini di Sungai Tiram, Johor Bahru.

Dalam pertemuan bersama pelajar-pelajar dari 4 buah negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, Prof Dr Zainur Rashid menyeru supaya setiap umat Islam menitikberatkan perihal solat Subuh secara berjemaah kerana ianya akan membentuk jati diri seorang pemimpin yang berjiwa syariat serta mampu memagari jiwa daripada melakukan sesuatu keputusan yang tidak amanah dan zalim.

Beliau yang merupakan pakar perunding Obstetrik dan Ginekologi di International Medical University (IMU), melahirkan rasa kerisauan terhadap peratusan pesakit yang menunaikan solat semasa berada di hospital.

“Daripada tinjauan yang dibuat, hanya 35 peratus sahaja dikalangan pesakit yang menunaikan solat di hospital utara tanah air. Kita mengharapkan agar pesakit di hospital lebih peka terhadap solat yang merupakan tuntutan syariat Islam,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *