Awas ancaman akidah melalui jalur perundangan

Oleh: Fakhruddin Afif Fauzi

ALOR SETAR, 24 Ogos – Umat Islam digesa berwaspada dengan agenda merosakkan akidah Islam melalui jalur perundangan yang sedang berlaku pada ketika ini selain aliran-aliran pemikiran sekularisme dan liberalisme yang kian jelas membarah dalam masyarakat.

Menurut Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Haji Zamri bin Hashim, antara ancaman melalui jalur perundangan yang begitu ketara ialah usaha untuk meminda Akta Perkahwinan Dan Penceraian 164.

“Akta 164 ini sekiranya dipinda, maka nilai pertimbangan syarak pada penyataan akta iaitu “anak akan memilih agama ibu atau bapanya yang mana lebih baik” akan tergugur.

“Begitu juga dengan usaha-usaha segelintir pihak yang mahukan anak yang tidak sah taraf dibenarkan untuk berbinkan kepada bapa biologinya, padahal ia akhirnya akan memporak-perandakan masyarakat.

“Apabila kedua-dua usaha ini dibiarkan, akidah umat Islam akan terancam,” jelasnya dalam program Usrah Umum anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Alor Setar di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Isma Cawangan Ipoh turut menegur sikap pendokong-pendokong Islam masa kini yang gemar mengadakan diskusi dengan pendokong agama lain atas dasar mencari titik persamaan dari aspek kemanusiaan.

“Tujuan sebenar diskusi antara agama adalah untuk meninggikan Islam di tempat asalnya dan membuatkan pendokong agama lain berfikir adakah agama mereka benar atau tidak.

“Ini ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. sendiri melalui kisah baginda menunjukkan kepada kaumnya berkemungkinan patung berhala terbesar milik kaumnyalah yang menghancurkan berhala-berhala kecil yang ada,

“Tetapi kaumnya sendiri menafikan tuduhan Nabi Ibrahim a.s. dan mereka sendiri mengatakan bahawa patung berhala sembahan mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

“Inilah tujuan sebenar dialog antara agama, yakni membenarkan Islam dan menafikan kebenaran agama-agama lain,” ujar Ustaz Zamri lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *