Awas Fitnah Persengketaan Sesama Sunni

bingung

 

“Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar daripada Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar (mutasyaabihat) daripada Al-Quran untuk mencari fitnah (perbalahan dan kacau bilau) dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.”

Surah Ali Imran ayat ketujuh.

Contoh ayat “mutasyabihat” ialah ayat 54 Surah Al-A’raf, mengenai maksud sebenar “bersemayam di atas arasy”.

1) Ayat ini jelas menggesa agar orang-orang yang beriman memberikan tumpuan kepada ayat-ayat “muhkamat” atau induk dalam al-Quran, untuk dihayati dan dilaksanakan. Ayat-ayat ini tiada perselisihan pendapat dalam memahaminya, maka ia menjadi noktah persepakatan dan perpaduan serta kekuatan bagi umat Islam.

2) Salah satu perangai orang yang ada penyakit dalam hatinya ialah suka bercakap tentang ayat-ayat “mutasyabihat” dan banyak memberi tumpuan pada perbezaan pendapat sesama umat Islam dalam memahami ayat-ayat tersebut. Tujuannya hanyalah untuk menimbulkan perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam, yang merupakan salah satu perangai syaitan juga.

3) Sikap orang yang berilmu pengetahuan yang mendalam pula ialah beriman dan menerima seadanya ayat-ayat “mutasyabihat” itu. Mereka beriktikad bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui pengertian sebenar ayat-ayat “mutasyabihat” itu dan meyakini 100% bahawa tiada sesuatu (makhluk) yang menyerupai Allah. Mereka mendiamkan diri daripada berbincang tentang maksud sebenar di sebalik ayat-ayat “mutasyabihat” tersebut.

4) Jika diperhalusi betul-betul, tiada perbezaan pendapat antara Salaf dan Khalaf bahawa ayat-ayat “mutasyabihat” itu mesti “dipalingkan” maknanya daripada makna zahir, kerana Allah SWT itu Maha Suci tiada sesuatu yang menyerupai-Nya, ليس كمثله شيء . Salaf dan Khalaf sepakat dari sudut ini.

5) Selepas “memalingkan” daripada makna zahir, golongan Salaf berhenti setakat itu sahaja, tanpa cuba mencari-cari makna ganti bagi makna zahir yang telah “dipalingkan”. Manakala golongan Khalaf pula mencarikan makna yang difikirkan sesuai selepas “memalingkan” ayat-ayat itu daripada makna zahirnya.

6) Kedua-dua pendekatan Salaf dan Khalaf di atas, tidak ada yang salahnya dari sudut akidah. Perbezaan hanya bersifat cabang, yang tidak perlu dijadikan sebab untuk perbalahan dan perpecahan sesama umat Islam.

7) Isu ayat-ayat “mutasyabihat” ini isu lama, tetapi sentiasa akan ada golongan berpenyakit hati berusaha untuk menjadikannya modal untuk membakar api permusuhan sesama umat Islam.

8) Sebarang pertuduhan (tasybih dan seumpamanya) mesti disertakan dengan bukti. Bukti pula mestilah hasil kajian menyeluruh. Jika yang tertuduh masih hidup, maka pertemuan bersemuka satu kemestian. Jika yang tertuduh sudah mati, seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, maka seluruh kitab dan tulisannya, juga tulisan ulama lain mengenai beliau, mesti dikaji secara tuntas, sebelum tuduhan disebut.

9) Terdapat tangan-tangan ghaib yang mengatur watak yang dimainkan individu tertentu untuk menimbulkan persengketaan mazhab sesama Sunni di Malaysia, mutakhir ini. Walaupun perselisihan pendapat antara kaum muda dan kaum tua sudah lama bertapak di nusantara, namun perkembangan mutakhir menampakkan usaha terancang untuk membakar api fitnah sesama Sunni. Mungkin ia satu usaha ganti selepas suara sekular liberal totok semakin dipandang sepi oleh majoriti umat Islam di Malaysia.

10) Jalan terbaik menangani isu ini ialah muzakarah tertutup di kalangan ulama untuk mendekatkan jurang perbezaan pendapat dalam perkara cabang, di samping menjadi medan untuk menyelaraskan taujihat (nasihat) ulama kepada orang awam yang cetek ilmu agama yang sering menjadi mangsa golongan berkepentingan.

11) Pendekatan populis yang suka melontarkan pandangan agama secara separuh masak semestinya ditolak kerana menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat. Jikapun mahu mengajar pelbagai pendapat ulama selain Syafie dan selain yang terkandung dalam fatwa negeri-negeri, maka ajarkan juga adab-adab khilaf ulama-ulama tersohor itu. Jangan seronok mengajar sesuatu yang kita rasa kitalah pelopornya manakala ulama lain tidak pandai dan tidak mengerti, sedangkan pada hakikatnya kita sedang mengelirukan masyarakat awam. خاطبوا الناس على قدر عقولهم ، لكل مقام مقال ، ولولا أن قومك حديث عهدهم بالجاهلية فأخاف أن تنكر قلوبهم أن أدخل الحجر في البيت وأن ألصق بابه الأرض

12) Bagi orang awam pula, jalan terbaik bagi mengelakkan api fitnah persengketaan mazhab ini ialah berdiam diri daripada memberi sebarang komen yang melampau. Perbezaan pendapat yang berlaku hanya perkara cabang dan janganlah kita melayan sebarang tuduhan melulu, lebih-lebih lagi yang dibuat dengan penuh emosi kebencian. Banyakkan memberi salam sesama Islam dan Sunni, untuk merapatkan silaturahim. Akidah kita satu, kita umat yang satu. Jangan biarkan api fitnah permusuhan syaitan menyelinap masuk ke dalam hati kita.

13) Kesemua perkara ini tiada kaitan dengan Syiah, kerana Syiah satu agama lain, bukan Islam. Jika pun ada kaitan, ia hanyalah musuh dalam selimut yang mahukan Sunni (Ahlu Sunnah Wal Jamaah) berbalah dan berbunuhan sesama sendiri. Sejarah membuktikan sikap kemunafikan mereka ini.

Semoga Allah menyelamatkan kita di Malaysia ini daripada menjadi mangsa fitnah persengketaan sesama Sunni. Amin Ya Rabbal Alamin.

Ustaz-Hazizi-Rahman1

 

 

 

 

 

 

Ustaz Hj. Mohd Hazizi Ab. Rahman
Ketua Penerangan Isma

2 comments

Leave Comment
  1. MUNAJAT

    menurunkan kefahaman tauhid atau perbezaan pendapat dalam ruang yang kecil ini sebenarnya telah membuka fitnah yang besar dan tidak sepatutnya dilakukan kalau SEKADAR MAHU MENARIK PERHATIAN . Sekadar menarik perhatian inilah lah sebenarnya telah menjadi pintu-pintu perpecahan yang selama ini sengaja dicetuskan. ……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

  2. aku nampak perkaitan fitnah dahulu dengan fitnah sekarang. sayang kalau umat Islam sendiri tak mahu ambil iktibar.kesannya kesatuan ummah agama kita juga yang terjejas. buku ni juga dapat mendiskripsikan bahaya dari kesan fitnah orang-orang munafik ni. buku ni juga menjelaskan dengan terperinci sumber-sumber dari mana penulis mendapatkan maklumat. selain tu, ada panduan untuk menyemak sanad untuk memastikan hasil penulisan adalah dari sumber yang benar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *