Bagaimana masa depan generasi kita tanpa persiapan rapi serta organisasi yang kukuh? – Prof. Dr. Hj. Zainur Rashid Zainuddin

Oleh Habsah Abdul Shaer

Port Dickson, 28 Feb. – “Bagaimanakah masa depan generasi akan datang jika kita tidak membuat persiapan yang besar dan tidak membangunkan sebuah organisasi yang kukuh serta mampu untuk mendepani cabaran umat pada masa kini?,” soal Prof. Dr. Hj. Zainur Rashid Zainuddin, Naib Presiden III Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Isma (AGM) kali ke-3 cawangan Port Dickson di sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa masa depan generasi umat Islam akan musnah jika tiada persiapan yang sebaiknya,  tekad serta perjuangan yang tidak berasaskan wahyu dan tauhid dalam memerangi kuasa jahat yang terdiri daripada golongan kufur yang menguasai dunia pada masa kini.

“Oleh sebab itu, Isma mengambil pendirian yang tegas untuk terus mempertahankan identiti masyarakat Islam serta menegakkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna termasuk memahami isu berkaitan politik dan negara.

“Isma juga teguh dalam mempertahankan negara Malaysia sebagai tanah berdaulat bagi bangsa Melayu sampai bila-bila,” tegas beliau lagi.

Beliau juga menyarankan supaya ahli Isma terus berusaha mengajak anak-anak muda untuk mengembalikan mereka bagi mengikuti cara hidup Islam yang sebenar dan ini perlu dijadikan sebagai agenda utama untuk melahirkan lebih ramai lagi para pendakwah di kalangan generasi muda.

“Kerana tanpanya, gerakan Islam seperti Isma tidak akan berkembang dan tidak dapat menyampaikan fikrah Islam dengan lebih berkesan kepada masyarakat secara keseluruhannya,” ujar beliau lagi.

Melalui AGM kali ini, Encik Ja’far Suradi telah dipilih untuk terus mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Isma Port Dickson untuk dua tahun yang akan datang iaitu Sesi 2017-2019.

AGM kali ini juga telah berlangsung secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran para perwakilan, pemerhati serta ahli yang berdaftar di bawah Isma Port Dickson.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *