Bangsa Melayu mampu memimpin

Oleh : Syaza S. Suhaili (Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat)

PUTRAJAYA, 16 Mac – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Aminuddin Yahaya hari ini menyuntik inspirasi kepada para perwakilan dan hadirin dengan menyatakan bahawa umat Melayu mampu memimpin negara ini kerana orang Melayu yang sebenar adalah mereka yang yakin dengan kehebatan dan kesungguhan kepimpinan umat Islam.

Beliau dalam ucapan aluan di Mesyuarat Agung Tahunan ke 16 (MATK) ISMA berkata, “kalau dahulu kita sebut Melayu, mereka kata ini rasis. Tapi hari ini semua sebut Melayu termasuk parti yang disebut multiracial, pimpinan mereka mula berkata betapa pentingnya memperjuangkan agenda orang Melayu”.

Haji Aminuddin Yahaya menyeru agar penggerak ISMA dan organisasi Islam bukan kerajaan (NGO) di negara ini dapat meneruskan agenda perjuangan Melayu Islam dengan bersungguh-sungguh walaupun dalam suasana yang menekan di masa kini. Beliau menzahirkan sokongan terhadap penggabungan dua parti politik Melayu terbesar negara iaitu PAS-UMNO dan mengungkapkan bahawa ia merupakan satu mukadimah perpaduan umat Islam di Malaysia.

Rentetan spekulasi yang dilontarkan oleh sesetengah parti politik dan organisasi luar terhadap pembiayaan program-program ISMA sebelum ini, Tuan Presiden menegaskan secara jelas bahawa tidak ada sebarang tajaan atau pembiayaan daripada pihak luar. Bahkan, kejayaan ISMA selama ini hanyalah hasil usaha dan pengorbanan ahli-ahlinya.

Sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan ISMA ke-16, Tuan Haji Aminuddin menyelitkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa pencemaran toksik di Pasir gudang, Johor dan juga umat Islam yang terlibat dalam tragedi tembakan di Christchurch, New Zealand.

Seramai 431 perwakilan dan 500 pemerhati seluruh Malaysia hadir ke mesyuarat agung tahunan ini yang menyaksikan seramai 13 kepimpinan baru telah dilantik bagi penggal 2019-2023 bermula Mac ini. Turut hadir di MATK Isma ke-16 kali ini adalah; Presiden Berjasa, Datuk Ir Ts Badhrulhisham Abdul Aziz; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Wira Masood Zainal serta barisan kepimpinan badan kerajaan dan NGO-NGO yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *