Bawean antara suku kaum Melayu di Selangor

Suku kaum Bawean, atau lebih umum dikenali sebagai suku kaum Boyan, ialah salah satu suku kaum Melayu yang terdapat di negeri Selangor.

Suku Bawean berasal daripada Pulau Bawean, Jawa Timur, Indonesia dan kini menjadi salah satu suku Melayu Dagang yang wujud di negara kita.

Bawean berasal daripada Bahasa Sanskrit yang bermaksud ‘ada sinar matahari’.

Agama Islam sampai di bumi Pulau Bawean sejak tahun 1511 Masihi melalui Sheikh Umar Mas’ud yang sebelum itu dipengaruhi animisme dan dinamisme.

Pengislaman seluruh penduduk Pulau Bawean menjadikan Sheikh Umar Mas’ud dilantik sebagai pemimpin masyarakat pulau itu di mana sebuah kerajaan Islam didirikan di Dusun Pulau Raja pada tahun 1601 dan Sangkapura pada tahun 1630. Sheikh Umar Mas’ud meninggal dunia pada tahun 1630 dan dikebumikan di Masjid Jamek Istiqamah Patar Selamat, Sangkapura di pulau tersebut.

Pemerintahan Islam di Pulau Bawean kemudian disambung anak cucu Sheikh Umar Mas’ud seperti Purbonegoro, Cokrokusumo dan Raden Ahmad Pashai sebelum dikuasai Syarikat Hindia Timur Belanda.

Menurut sejarah, suku Bawean mula keluar dari tanah asal dan berhijrah ke bandar-bandar besar sekitar tahun 1820-an melalui Singapura berikutan peluang ekonomi yang dijana oleh penjajah Inggeris. Sukut Bawean seterusnya menetap dan berasimilasi dengan suku Melayu Asal atau Melayu Jati di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka selain Selangor.

Di Pulau Bawean, bahasa dan tulisan Bawean tidak jauh beza dengan sebutan dan ejaan Bahasa Melayu moden sekarang. Antara persamaan yang ada ialah ejaan ‘kanan’, ‘masuk’ dan ‘suruh’. Perbezaan ejaan adalah seperti perkataan ‘dapur’ dieja ‘dapor’, ‘makan’ dieja dan disebut ‘ngakan’, ‘merangkak’ dieja dan disebut ‘ngarangkak’ dan sebagainya. Terdapat juga istilah Bahasa Bawean yang turut digunakan dalam rumpun bahasa serantau seperti Bahasa Tagalog, Banjar dan Jawa.

Kajian oleh Muhammad Ridhwan Sarifin dan Mohamad Fauzi Sukimi (2016) menyimpulkan terdapat 5 elemen identiti dalam kalangan masyarakat Bawean di Malaysia, iaitu agama Islam, amalan merantau, bahasa, amalan gotong royong dan ilmu perubatan tradisional.

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Pengarang
ISMA Subang Jaya

Rujukan-rujukan utama:
1. https://id.wikipedia.org/wiki/Pulau_Bawean
2. https://khazanah.republika.co.id/berita/dunia-islam/islam-digest/ppmxr1313/dakwah-islam-di-pulau-bawean
3. https://www.facebook.com/selangordarulehsan10/posts/melayu-dagang-suku-kaum-boyan-bawean-suku-kaum-boyan-adalah-salah-satu-dari-berm/2076595005957438/
4. http://disparbud.gresikkab.go.id/wisata-religi/makam-umar-masud/
5. https://en.wikipedia.org/wiki/Bawean
6. http://ejournal.ukm.my/gmjss/article/view/17914

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *