Belia perlu contohi keunggulan pemuda Al-Kahfi dalam pertahan aqidah

pembina penang

PERMATANG PAUH, 20 Feb – “Para belia hari ini perlu mencontohi kisah pemuda-pemuda Al-Kahfi yang dinukilkan di dalam Al-Quran kerana pemuda-pemuda itu mempunyai keperibadian yang unggul dalam mempertahankan aqidah mereka.”

Begitulah antara kata-kata Penasihat PEMBINA UiTM Pulau Pinang, En. Rozaini Othman yang juga aktivis ISMA Seberang Prai Utara dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan PEMBINA Pulau Pinang yang diadakan di UiTM Pulau Pinang.

Menurut beliau, belia sekarang berhadapan dengan pelbagai cabaran aqidah dan pemikiran dari bermacam sudut dan perlu membina jati diri yang unggul seperti yang digariskan oleh Hassan Al-Banna dalam 10 Ciri-Ciri Peribadi Muslim.

En. Rozaini menambah bahawa belia kini mestilah sentiasa memperkasa diri untuk menjadi Muslim yang sebenar supaya dapat menangkis ancaman-ancaman aqidah yang kian menular.

“Belia dan beliawanis mesti menceburkan diri dalam program-program yang dapat meningkatkan jati diri sebagai belia Muslim, sebagai contoh dengan menyertai PEMBINA,” ujarnya.

Mesyuarat Agung Tahunan ini dihadiri oleh para mahasiswa mahasiswi IPT di sekitar Pulau Pinang, antaranya Universiti Sains Malaysia, Politeknik Seberang Perai dan Allianze University College of Medical Science (AUCMS) Bertam, Pulau Pinang.

“Sebelum ini saya tak tahu apa itu PEMBINA, tetapi selepas penerangan demi penerangan yang diberikan pada hari ini, saya merasakan sebagai belia banyak yang boleh dibuat dan disumbangkan untuk masyarakat menerusi PEMBINA”, jelas Norshazlinda binti Muhammad Sophee Choong, 22 dari Politeknik Seberang Perai.

Disediakan oleh,
Nur Syuhada Mohd Ataa
Wartawan Media
ISMA Seberang Perai Utara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *