Belia perlu persiap diri hadapi cabaran alam IPT

Nurul Aizam Zaini PEMBINA
TAMPIN, 23 Mei – Belia yang akan melangkah masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu mempersiapkan diri dalam segenap aspek bagi menghadapi cabaran di alam IPT.

Demikian ujar Pengarah Program Matriculation Alumni Camp 2014 (MAC) Zon Selatan, saudara Nurul Aizam Zaini dalam ucapan majlis penutup yang berlangsung di Kem Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa ancaman ideologi liberal terhadap mahasiswa semakin hebat dan belia di IPT perlu mempunyai asas kefahaman Islam yang jelas bagi mengelakkan diri daripada diracuni ideologi-ideologi yang merosakkan jati diri para belia.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu telah berjaya menghimpun para belia termasuk ahli-ahli Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang sedang melanjutkan pelajaran di Kolej-kolej Matrikulasi dan Pusat Asasi.

Peserta turut diperkenalkan dengan aktiviti-aktiviti anjuran PEMBINA sebagai platform aktivisma mahasiswa di IPT.

“Ahli-ahli PEMBINA akan didedahkan dengan pelbagai program menarik yang dianjurkan oleh cawangan-cawangan PEMBINA di seluruh negara. Kem yang dianjurkan pada hari ini merupakan salah satu program tahunan PEMBINA bagi membantu ahli mahupun bukan ahli PEMBINA bagi membuat persediaan bagi memasuki alam IPT,” jelasnya.

Program yang diadakan di Kem Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan itu bertujuan bagi memberikan pendedahan alam IPT kepada para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di IPT-IPT di seluruh negara bagi kemasukan September 2014.

Pelbagai slot dan aktiviti menarik telah dijalankan antaranya forum ‘Dunia Kampus’, ‘Pilihan Hatiku’ dan ‘Slot Motivasi Destinasiku’.

Peserta turut berpeluang meneroka Gua Batu Maloi sebagai salah satu modul aktiviti lasak yang dirancang.

Cawangan PEMBINA terdapat di seluruh negeri di Malaysia. Bagi yang ingin menyertai PEMBINA, layari pautan berikut:

http://pembina.com.my/sertai-kami-di-pembina/

Mohd Khairul Nordin
Wartawan PEMBINA Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *