Belia perlu proaktif dan terokai peluang yang ada

johor

JOHOR BAHRU, 16 Sept – Semua belia, khususnya ahli Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) diseru agar menjadi belia yang lebih proaktif dan bersungguh-sungguh dalam menerokai semua peluang yang ada.

Demikian ujar  Ahli Jawatankuasa  Kajian dan Informasi PEMBINA,  saudara Aiman Faudzi dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA Cawangan Johor (MATC) kali ketiga, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, belia atau pemuda menjadi kekuatan umat pada masa akan datang. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi belia untuk bekerja dengan lebih kuat menggunakan segala kudrat yang ada untuk membawa corak pemikiran baru kepada mahasiswa.

“Dengan kesungguhan kita dan dengan tarbiyah kita, agenda Islam akan berdiri teguh di muka bumi ini dengan izin Allah,” tambah beliau.

Beliau yang berucap dalam majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika, menegaskan bahawa belia tidak boleh berdiam diri atau bersenang-senang dalam membangunkan agenda Islam di muka bumi ini.

Kata-kata beliau disokong oleh Pengerusi PEMBINA cawangan Johor, Mohd Khairul Ahmad Nordin yang turut hadir pada majlis tersebut.

Mohd Khairul mengatakan bahawa ahli PEMBINA khususnya Ahli Jawatankuasa PEMBINA mestilah menukar cara fikir kepada yang lebih positif.

“Tugas dan tanggungjawab  belia semakin besar sesuai dengan peralihan zaman, maka ahli-ahli PEMBINA perlulah menjadi lebih proaktif serta maju ke depan dalam segala hal,” jelasnya.

Pemuda seharusnya mencontohi pemuda hebat seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fateh dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam sebagai Ustaziyatul Alam (pusat rujukan dunia) pada suatu hari nanti. –PEMBINA

Fatin Nurliyana Mohd Azmi
Wartawan ISMA Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *