Berhias yang mubah buat wanita

Oleh : Siti Saleha Sofian Suri

BANGI, 18 Mac – “Berhias bagi wanita di tempat awam adalah harus dengan menepati 14 prinsip dan teras utamanya ialah menutup aurat dengan sempurna,”

Demikian ulas Ustazah Nur Fatin binti Halil, ahli Majlis Ulama Isma (MUIS) sewaktu membincangkan tajuk ‘Berhias yang Mubah’ dalam Usrah Wanita di Surau Nur Idaman, Apartmen Bangi Idaman, hari ini.

“Berhias juga mestilah tiada unsur mensyirikkan Allah, tidak menyerupai agama lain, tidak menyerupai jantina lain, menggunakan alatan solek yang halal, mesra wuduk dan dibuat daripada bahan kimia yang selamat, tidak menghalang air sampai ke kulit, tidak mengubah ciptaan Allah secara kekal, tidak keterlaluan serta mendapat izin wali atau suami,” tambah beliau dalam menyenaraikan kesemua prinsip tersebut sambil menyebut berkenaan hukum berhias yang berbeza mengikut situasi dan kepada siapa berhak dizahirkan perhiasan.

Ustazah Nur Fatin dalam usrah wanita yang diadakan setiap hujung minggu, turut mengulas berkenaan istimewanya wanita berbanding lelaki dalam bab perhiasan yang mana Rasulullah SAW mengharamkan perhiasan emas dan sutera kepada golongan lelaki sekaligus menyaksikan hanya wanita dibenarkan memakainya.

Selain itu juga, beliau turut mengajak para wanita untuk mengutamakan perhiasan dan penampilan diri untuk suami sesuai saranan Islam yang mana berhias tersebut boleh beroleh pahala dan menjadi wajib jika diminta oleh suami.

Siri Usrah Wanita ini yang dihadiri kira-kira 30 penduduk Apartmen Bangi Idaman dan penduduk sekitar Bangi adalah program berkala anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) daerah Hulu Langat dengan kerjasama Surau Nur Idaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *