BIJAK URUS EMOSI, KUNCI KEBAHAGIAAN WANITA

Oleh: Zulaiha Abdul Karim

PUTRAJAYA, 1 September 2018 – Melihat kepada suasana rumah tangga di mana suami dan isteri tinggal bersama, mereka bukan sahaja berkongsi ruang, malah turut berkongsi emosi.

Sekiranya tiada persefahaman emosi maka akan berlaku pertentangan emosi yang menyebabkan ketidakselesaan lalu menjurus kepada ketidakserasian yang lebih memudaratkan.

Wanita hari ini kebanyakannya berkerjaya, menyebabkan masa mereka di rumah menjadi singkat untuk menguruskan rumah, keperluan anak hatta keperluan suami.

Justeru para suami yang mengambil keputusan untuk membenarkan isteri bekerja untuk menampung keperluan keluarga harus sedar hakikat ini dan memberi sokongan kepada isteri baik dari segi dokongan fizikal mahupun dokongan emosi.

Para suami harus membantu meringankan bebanan yang terletak di bahu para isteri dan bersama-sama menguruskan emosi dengan duduk berbincang untuk menyelesaikan ketidaksefahaman.

Dr Nornajwa Ghazali, Pensyarah Pendidikan Islam & Moral, IPG Kampus IPOH turut mengulas mengenai trend pasangan muda hari ini yang cenderung memilih untuk terus berpisah apabila berlaku ketidaksefahaman dalam rumahtangga.

Ujar beliau, meskipun perceraian itu halal di sisi Allah, namun itulah perkara yang paling dibenci-Nya. Perceraian adalah langkah terakhir hanya apabila solusi-solusi lain telah diusahakan tidak membuahkan hasil.

Tujuan utama perkahwinan harus dilihat dengan pandangan yang lebih jauh. Perkahwinan bukan sekadar untuk membina ketenangan, ketenteraman dan kesejateraan kepada pasangan, malah untuk kesinambungan zuriat, membina keluarga  yang sejahtera yang akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara yang lebih baik.

Wanita tidak harus mudah melatah apabila menghadapi isu rumahtangga dan orang sekeliling berperanan membantu wanita tersebut menghadapi masalah dengan bijak.

Beliau yang membentangkan tajuk ‘Pengurusan Emosi dalam Keluarga Bahagia’ dalam Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS) berkata, “apa sekalipun status, wanita perlu kenal Allah dan kenal diri sebagai hamba. Sama ada bujang mahupun sudah berkahwin, para wanita harus bersedia dengan ilmu yang secukupnya seperti ilmu pengurusan masa, ilmu keibubapaan, ilmu kewangan dan sebagainya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *