Bola Baling Amal Biro Wanita ISMA Cardiff Bantu Pelajar Bersukan Sambil Beramal

 

Cardiff, 25 Nov – Perlawanan Bola Baling Amal bagi wanita (Ladies’ Charity Handball) telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari Sabtu lalu bertempat di National Wales Sports Centre, Cardiff yang berlangsung dari jam 5.30 petang hingga 8.45 malam.

Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada Projek Warming The Soul 2017 anjuran ISMA UK-Eire dan juga mendapat kerjasama erat daripada Malaysian Student’s Community of Cardiff (MCC) Hawa.

Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan serta mendapat reaksi yang positif daripada para peserta yang hadir. Seramai hampir 40 orang telah menyertai aktiviti ini dan penyertaan diterima daripada 5 buah pasukan yang meliputi para mahasiswa, pascasiswazah dari Cardiff University serta ibu-ibu yang menetap di Cardiff.

Perlawanan yang diadakan ini bertujuan untuk bersukan sambil mengumpulkan dana bagi melaksanakan aktiviti utama Warming the Soul, iaitu program ‘Feeding the Homeless’ yang akan diadakan pada 2 Disember 2017 dengan misi untuk membantu gelandangan di sekitar Cardiff.

Saudari Izzati Amin, salah seorang peserta berkata. “aktiviti sebegini sememangnya merupakan salah satu platform yang amat menarik untuk sama-sama kita bersukan dan menyihatkan badan sambil mengeratkan hubungan serta mewujudkan suasana harmoni sesama masyarakat di Cardiff. “

Respon yang diterima kebanyakannya mengharapkan agar aktiviti seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang agar dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli komuniti di samping beriadah dan beramal.

Saudari Aishah Ishak selaku Penolong Pengarah Program Warming The Soul 2017 sangat berbesar hati dan mengucapkan tahniah kepada semua yang telah terlibat dan bersungguh-sungguh menjayakan aktiviti ini. Beliau berharap agar kita semua akan terus dan lebih bersemangat untuk program seterusnya pada minggu hadapan iaitu ‘Feeding The Homeless’.

Marilah kita mengambil motivasi daripada ayat al-Quran Surah Al Insyirah ayat 7 “Maka apabila kamu telah selesai dari satu urusan maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain.”

Akitivti ini diakhiri dengan sesi penyampaian pingat dan saguhati kepada para pemenang dan peserta yang terlibat dan seterusnya sesi fotografi sebagai penutup acara.

“Majulah Sukan untuk Ummah!”

 

Biro Penerangan ISMA UK-Eire

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *