Bukit Mok Cun beri kepuasan kepada pendaki

Oleh: Fakhruddin Afif Fauzi

Perancangan saat-saat akhir aktivis pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Alor Setar bagi mengisi cuti am Hari Thaipusam membawa kepada program pendakian Bukit Mok Cun.

Bukit Mok Cun, satu nama yang lebih tular sejak setahun kebelakangan ini berbanding nama asalnya iaitu Bukit Kodiang, terletak di Kampung Kandis, Kodiang, dalam daerah Kubang Pasu, Kedah Darul Aman.

Acara pendakian oleh 5 orang pemuda Isma Alor Setar bermula kira-kira jam 9 pagi. Di kaki bukit tempat laluan pendakian bermula telah dipenuhi kereta dan motosikal para pendaki yang mungkin telah tiba sejak Subuh lagi.

Selepas berdoa dan regangan ringkas, perjalanan dimulakan melalui trek yang cantik tetapi sedikit curam. Selepas 10 minit menelusuri laluan curam, trek berubah menjadi sedikit sukar tatkala laluan mendaki yang berbongkah batu bersaiz sederhana hingga besar semakin kelihatan.

Trek serta-merta menjadi sukar dan ekstrem apabila dinding bukit batu yang menegak 90 darjah terpaksa diharungi. Mujur hampir di sepanjang trek sehingga ke puncak bukit, rentangan tali disediakan untuk para pendaki berpaut.

Kepuasan jelas di wajah para pendaki tatkala tiba di puncak bukit yang dikelilingi panorama indah sawah padi, perumahan kampung dan bukit-bukit kecil yang tertonjol secara terpisah.

Bukit Mok Cun yang berketinggian 140 meter mula mendapat nama tularnya melalui watak drama Mok Cun lakonan Eirma Fatima yang menjadikan Kodiang sebagai lokasi penggambaran utama.

Dari segi geologi, bukit ini ialah antara bukit-bukit batu kapur yang menganjur dari Gunung Keriang di Alor Setar hingga Bukit Mata Ayer di utara Perlis. Pembentukan bukit batu kapur ini berlaku pada usia Permian, iaitu kira-kira 290 juta tahun lalu sebagai mendapan sisa cangkerang hidupan dasar laut kuno, seterusnya mengeras menjadi batu kapur lalu diangkat ke permukaan sebagai bukit 50 juta tahun kemudian.

Namun begitu, tanda amaran oleh pihak berkuasa tempatan telah diletakkan di kaki bukit di mana keseluruhan kawasan bukit ialah kawasan amat berbahaya, khasnya keadaan trek yang ekstrem dan kewujudan struktur batuan jerangkau dan bongkah batu kapur ‘tergantung’ yang tampak boleh jatuh bila-bila masa sahaja!

Tempoh sebenar pendakian dari kaki bukit hingga ke puncak ialah kira-kira 40 minit sahaja, namun akibat terlalu ramai pengunjung pada hari minggu, ditambah pula dengan trek yang sempit terutama di laluan sukar, tempoh menjadi 90 minit!

Apa-apa pun, Bukit Mok Cun nyata memberikan kepuasan buat para pendaki yang inginkan trek yang mencabar hanya dalam masa yang singkat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *