Buli: Salah laku pelajar yang perlu dicegah

lidah

Kes buli di sekolah hangat kembali. Isu yang lama ini dihangatkan kembali dengan kes terbaru beberapa hari lepas di mana seorang pelajar sekolah dibuli oleh beberapa pelajar senior untuk memotong lidahnya sendiri.

Buli secara definisi adalah perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan menunjukkan kekuatan masing-masing. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai tindakan agresif ke atas mangsa yang bertujuan mendatangkan perasaan tidak seronok. Buli boleh dilaksanakan dalam bentuk fizikal, bahasa, isyarat dan banyak lagi sehingga mendatangkan bahaya dan mudarat kepada mangsa malah terdapat kes buli hingga mengakibatkan kematian.

Buli kebiasannya dilakukan di dalam kelas, asrama, bilik kosong, tandas dan banyak lagi di mana orang yang lebih berkuasa seperti pengetua, guru besar, guru atau warden tidak berada pada ketika itu.

Terdapat banyak punca gejala buli. Antaranya ialah rasa tidak puas hati, inginkan perhatian, masalah pelajaran, ibu bapa, perhubungan dan banyak lagi.

Antara ciri-ciri pembuli ialah berpengaruh, ramai kawan, pentingkan diri sendiri, mempunyai masalah disiplin, suka langgar peraturan dan anti-sosial manakala mangsa buli pula kebiasaanya seorang yang kurang pengaruh dan kawan, lemah fizikal dan mudah menyerah kalah.

Kesan buli terhadap mangsa boleh menyebabkan kemurungan, risau, agresif, tidak jujur, rasa tidak selamat, ponteng sekolah malah ada sehingga membunuh diri.

Kepada pembuli pula, selain hukuman segera yang mereka boleh dapat seperti rotan, gantung atau buang sekolah, ianya juga boleh menggalakkan mereka menjadi orang yang agresif, ganas dan mudah terlibat dengan jenayah pada usia dewasa.

Perbuatan buli adalah masalah yang perlu dicegah dan diperbaiki yang memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya para pelajar, pihak sekolah termasuk para guru, ibu bapa dan juga masyarakat.

Pihak sekolah perlu memainkan peranan aktif dengan mengadakan panduan dan polisi anti-buli yang mengandungi punca-punca dan cara-cara penyelesaian gejala tersebut.

Para guru juga boleh memainkan peranan dengan bersikap aktif dan prihatin terhadap persekitaran agar suasana yang selamat di sekolah dapat diwujudkan di samping melancarkan program intervensi untuk mencegah buli seperti program mentor-mentee dan sebagainya.

Para pelajar perlu diberi kesedaran tentang aktiviti mereka yang boleh menyebabkan kebinasaan dan kecederaan serta diberikan bimbingan untuk membetulkan kelakuan diri mereka. Mereka juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam program pembangunan kemahiran sosial dan aktiviti keagamaan.

Selain para pelajar dan guru, pihak ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting mereka dengan mengambil berat perkembangan anak-anak mereka serta bersikap terbuka dan mesra dengan anak-anak agar anak-anak mudah untuk berkongsing perasaan dan meluahkan masalah mereka hadapi di rumah.
Selain para pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah, pihak masyarakat samada komuniti tempatan, pihak kerajaan melalui kementerian-kementeriannya atau badan bukan kerajaan juga perlu pro-aktif untuk mengatasi masalah ini mengikut skop tugas, kuasa dan kepakaran masing-masing.

Secara kesimpulannya, buli adalah aktiviti negatif yang membawa keburukan bukan kepada sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada pembuli, pihak sekolah dan masyarakat. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, kesedaran dan langkah pro-aktif semua pihak amat diperlukan agar gejala buli yang merosakkan ini boleh dielakkan seterusnya melahirkan para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan perkembangan sahsiah diri seterusnya menaikkan imej agama, bangsa dan negara.

“Aspirasi Remaja Muslim”
Dr Wan Muhd Riduan Bin Wan Jaffar
Pengarah KRIM Kota Bharu
27 Mac 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *