Cerpen Maulid – Akhlak takkan terlihat andai qudwah tak terzahir

Kisah hidup aku terlalu panjang untuk dicoretkan. Sejak dari zaman sekolah lagi aku selalu kena buli. Sebut saja apa yang tak pernah aku alami, diseparuh bogelkan di dalam kelas pun hampir saja aku terkena. Bukan aku pengecut. Bukan aku tak nak melawan cuma…

“Mud, hidup kita ni kena banyak bersabar tau. Kalau mud rasa marah pada seseorang, Mud kena ingat, apa yang kita alami ni, Nabi yang maksum lebih teruk terkena daripada kita. Tapi Nabi tetap sabar dan tersenyum.”

Itulah pesan ayah aku. Sebaris nasihat yang terakhir terdengar dari telinga aku sebelum ayah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ayah seorang nelayan yang sangat komited dengan tugasnya mencari ikan dan hasil laut. Meskipun payah dan penuh ranjau, ayah tetap ke laut mencari nafkah buat kami sekeluarga, sehinggalah suatu hari ayah sudah tidak pulang-pulang lagi ke rumah.

“Mud, sudah-sudahlah tu menulis diari, pergi tidur. Esok sekolah kena bangun awal. Nanti kau liat pulak nak bangun.” Lantang suara ummi kedengaran.

“Oh ya, ya baik ummi. Mud nak tidur dah ni.” Sahut aku dengan tergopoh-gapah mengemas kotak pensil yang bersepah dimain adik.

Setiap malam sebelum tidur pasti aku akan termenung, apakah yang akan berlaku pada aku esok hari? Adakah hari esok secerah pelangi atau mendung kelabu yang tidak pasti bila ia akan beredar. Hanya menunggu hujan runtuh membasahi bumi. Bimbang untuk ke sekolah bukan sebab aku tidak siapkan kerja sekolah tetapi khuatir jika esok aku akan terserempak dengan RAIKAL.

***

“Hei budak rambut megi. Kau asal nak jalan laju-laju, meh sini kejap.” Sapaan sinis Raikal pada aku yang selalu buat hati tak tenteram.

“hmm aku nak pergi bilik guru ni, tadi cikgu Osman panggil. Ada apa Raikal?” Tergagap-gagap aku menyahut sapaan sinis itu.

Raikal datang mendekat. “Kau nak jumpa cikgu Osman? Nak mengadu pasal aku ke?” Menjengkel mulut Raikal sambil merenung aku. Sehingga hampir bulat mata sepetnya.

“Apa yang aku nak adukan. Kau mana ada buat salah. Ke kau memang ada buat salah dengan siapa-siapa?” Tanya aku dengan nada sedikit perli. Entah bagaimana tiba-tiba aku berani bertanya begitu.

Tanpa Raikal menjawab apa-apa, datang dua orang rakannya yang memang selalu menjadi geng bulinya. Dani dan Ijam. Mereka berdua mendekati aku dan terus menumbuk perut dan bahu.

“Arghh, aduh sakit! Sakit! Arrghhh!!” Mengerang aku kesakitan tanpa sesiapa yang menolong. Pengawas yang ada pun hanya mampu memandang kalau geng Raikal yang membuat hal.

“Apehal ni? Berhenti!” Tiba-tiba ada suara kedengaran. Aku sudah pening-pening lalat dan tidak mampu mengecam suara siapa. Kemudian terus pitam dan tidak sedarkan diri.

***

Sebelum kejadian itu, geng Raikal sudah banyak kali memukul aku. Sejak tingkatan satu lagi sampaikan tingkatan lima. Entah apa yang diorang mahukan aku pun tak tahu. Pernah dulu aku fikir diorang tak puas hati sebab aku ‘handsome’ tapi bila aku fikir balik perasan pulak aku ni. Lepas tu, aku malas nak fikir, mungkin ini ujian aku kot.

Ada satu hari tu, masa aku tingkatan tiga, waktu rehat dekat sekolah, Raikal datang kat aku. Dia rampas bekal yang mak aku bagi lepas tu dia buang makanan aku tu ke lantai. Dia kata makanan aku tu sesuai duduk kat lantai je bukan dalam perut. Aku rasa marah betul. Aku jenis yang akan habiskan jugak makanan yang mak aku suruh bawak walaupun aku dah kenyang. Aku takkan buang, atau mungkin aku bagi kawan-kawan. Haritu tindakan Raikal buat aku sangat marah.

“Raikal! Buk!!!” Aku rentap muka Raikal dengan botol air yang ada di atas meja. Lebam. Biru tulang pipi dia. Aku tak fikir apa pun akibat yang akan aku tanggung. Yang aku tahu masa tu aku puas sebab dapat tumbuk muka dia.

Malam kejadian tu, aku ada mimpi ayah. Bibir ayah tak bergerak tapi aku dengar ayah cakap.

“Mud, sabar itu indah. Nabi pesan, Jangan marah. Bagimu syurga. Setiap yang kita lalui, kalau kita sabar mesti ada kebaikan untuk kita. Memaafkan itu lebih baik.”

Bila aku sedar dari mimpi tu, airmata aku mengalir. Teresak-esak aku nangis. “Abah, Mud rindu abah.” Suara kecil aku merengek sendirian.

***

Harini hari koko sekolah. Aku tak pakai baju pengakap sebab ummi belum ada duit nak belikan untuk aku. Jadi aku pakailah baju sekolah macam biasa. Masa dekat kelas, Raikal, Ijam dengan Dani datang rapat dekat aku.

Sambil tersengih-sengih sinis, Dani bersuara, “Apesal kau pakai baju sekolah? Dah takde baju lain ke kau ni? Miskin betullah.” Terbahak-bahak Dani dengan budak dua orang lagi tu gelakkan aku. aku diam je. Aku malas nak gaduh. Tiba-tiba Ijam lekapkan tapak tangan dia dekat belakang aku.

“Dani, kau kena faham, dia ni kan dah takde bapak, mak dia pun tukang sapu je, mana ada duit.” Sambil ditunjal-tunjal kepala aku dengan siku dia. Raikal pulak ambik buku teks atas meja dan koyakkan buku tu. Muka aku merah tahan marah. Budak-budak lain tergopoh-gopoh menjerit, “Cikgu datang, cikgu datang!” Semuanya duduk dekat tempat masing-masing seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Kelas berjalan seperti biasa. Tiba-tiba cikgu tegur aku, “Mahmud, kenapa baju awak tu?” Terpinga-pinga aku dan pelik dengan soalan tu. Lepas tu aku Tanya cikgu semula, “Kenapa cikgu? Maaf, Saya belum beli lagi baju koko.” Aku fikir cikgu marahkan aku sebab pakai baju sekolah hari ni.

“Belakang baju awak tu ada bekas tapak tangan. Macam guna cat warna biru. Siapa yang buat?” Lepas cikgu bagitahu, aku terus teringat Ijam yang menekap tangan dia dekat belakang aku tadi. “Ni mesti kerja Ijam!” Panas aku menahan marah dalam hati, sudahlah buku teks dikoyakkan, baju pulak terlekat cat. “Arrghh!”

Kalau tak kerana aku teringat pesan ayah, mesti sudah lama aku membalas segala kelakuan diorang pada aku. Hati kecil aku selalu berfikir, bagaimana Nabi Muhammad begitu tegar dan sabar. Dibaling tahi tapi masih mahu membalas dengan permata.

Petang itu, ketika semua mahu pulang ke rumah, seperti biasa aku akan ke tandas dulu kerana perjalanan aku ke rumah agak jauh dan perlu melalui jalan hutan. Susah nak cari tandas. Jadi, aku akan menyelesaikan segala hajat terlebih dahulu. Kemudian, sebaik sahaja aku ke kawasan meletak basikal, mata aku terbeliak!

“Ya Allah! Kenapa dengan basikal aku ni?” Kedua-dua tayar basikal aku hilang. Ada yang menganiaya aku lagi. Aku cuba mencari tayar itu di sekeliling kawasan sekolah. Tak jumpa. “Dekat mana diorang buang tayar basikal aku?” Bisik aku sendirian. Semua pelajar sudah beransur kurang. Masing-masing sudah pulang ke rumah cuma ada berbaki beberapa orang yang masih menunggu. Aku cuba bertanya pada diorang tapi semua tak nampak dan tak tahu. Wajar saja diorang tak tahu sebab kawasan tempat letak basikal di belakang bangunan sekolah. Tidak ramai yang menunggang basikal cuma sepuluh orang pelajar saja.

Aku bingung. Duit belanja tak ada untuk balik naik bas. Jalan kaki? Itu sahaja saranan minda yang dapat aku ikutkan. Aku tiada pilihan. Dua jam perjalanan pulang aku ke rumah dengan jalan kaki.

“Mud, kenapa kau jalan kaki? Basikal kau mana?” Tanya ummi sebaik saja melihat aku sampai di rumah dengan baju yang kuyup dibasahi peluh.

“Basikal Mud dirosakkan, ummi. Tayar hilang.” Aku menjawab dengan nada keletihan seolah tidak larat lagi mahu bercerita dengan ummi apa yang telah berlaku di sekolah. Hari itu saja terlalu banyak hal yang berlaku ke atas aku. Aku terlalu penat dan terasa ingin tidur sepanjang hari.

“Astaghfirullah. Siapa yang rosakkan mud? Tak ada orang lain yang nampak ke?” Soal ibu lagi bertubi-tubi.

Aku hanya mendiam dan terus tertidur.

***

Setelah dua hari bercuti, Isnin datang lagi dan aku dihantar oleh Pak Hamid ke sekolah. Ummi meminta tolong Pak hamid tukang kasut untuk menghantar aku dan belikan tayar basikal yang baru. Aku tenang sedikit walaupun hati aku terlalu remuk melihat ummi terpaksa mengumpul duit untuk menyara kami dua beradik. Kali ni perlu membeli tayar basikal pula untuk aku.

Hari itu di sekolah sedikit tenang untuk aku. Tiada orang yang mengganggu. Pelik benar rasanya, tapi aku bersyukur. “Mungkin Raikal dengan geng dia ponteng sekolah harini.” Aku tersenyum sinis sendirian. Tiba-tiba aku terdengar perbualan budak kelas pasal Raikal.

“Weh korang, tau tak sabtu haritu Raikal eksiden. Dia, Dani dengan Ijam bergesel dengan lori masa merempit dekat Jalan Labu. Tiga-tiga masuk hospital. Dengar cerita Raikal yang paling teruk sekali. Koma katanya.”

Tersentak aku mendengar. Baru aku rasa aman harini sebab diorang tak ada, rupanya diorang di hospital. SPM lagi 1 bulan je lagi. Kawan-kawan ajak melawat diorang di hospital selepas pulang dari sekolah. Aku tak tahu patut ke aku pergi melawat diorang sedangkan diorang pun benci pada aku.

Aku ‘decide’ untuk tak ikut, tapi aku kirim coklat untuk diberikan pada Raikal, Dani dan Ijam. “Kau jangan bagitahu diorang aku yang bagi coklat ni tau.” Pesan aku pada Aiman.

“Eh apesal pulak , Mud, kau taknak diorang tahu ke?” Soal Aiman pula.

“Aku taknak diorang fikir, aku beri coklat ni sebab aku nak ‘gelakkan’ musibah yang menimpa diorang. Takpe, kau bagi je, anggaplah macam kau yang bagi.” Jawab aku sambil menyeluk-nyeluk beg sekolah.

“Mud, Mud, diorang dah buat macam-macam dekat kau pun kau nak bagi lagi hadiah pada diorang? Baik sangatlah kau ni Mud, kalau aku biar padan muka diorang!” Ujar Aiman dengan sedikit emosi.

“Ish, tak baik kau cakap macam tu, setiap benda yang berlaku mesti ada kebaikan, kalau tak pada diorang ada pada kita. Mana tahu musibah ni buat diorang rasa nak bertaubat ke. Kita pun tak tahu apa musibah yang akan menimpa kita pulak.” Jawab aku seperti menyalin kata-kata abah.

***

Hari demi hari sehingga beberapa bulan juga Raikal koma tidak sedarkan diri. Setiap hari aku letakkan sekeping kertas di dalam laci wad yang Raikal duduk. Banyak kata-kata semangat yang aku tulis tanpa memberitahu nama sebenar. SPM dah tamat. Raikal tak dapat ambil exam SPM tahun ni. Aku simpati dengan dia. Meskipun dia nakal, tapi dia budak pandai.

Sejak keputusan SPM keluar, aku tak jumpa-jumpa Raikal lagi. Dan aku tak tahu apa-apa berita pasal dia. Aku buat kerja sambilan dan buat persiapan untuk sambung belajar di luar Negara. Biasiswa ditanggung penuh oleh Bank Negara. Aku bersyukur sangat sebab tanpa biasiswa ni pasti aku tak dapat ke mana-mana.

(Diari Mahmud_04/08)

***

 “Raikal, harini awak dah boleh keluar hospital. Alhamdulillah awak memang kuat semangat. Hampir enam bulan awak koma. Mungkin berkat doa kawan awak yang datang hari-hari doakan awak. Untung awak dapat sahabat macam tu.” Berkata doktor yang menjaga dan merawat Raikal sambil tersenyum.

“Oh yeke, doktor. Terima kasih banyak-banyak sebab selama ni jaga saya. Doktor, boleh saya tahu siapa yang letak kertas-kertas ‘sticky note’ ni dalam laci saya ni?” Soal Raikal terpinga-pinga.

“Saya rasa kawan yang datang melawat awak hari-hari tu. Setiap kali dia datang mesti saya nampak dia tengah menulis.” Ujar Doktor Muiz.

“Doktor tahu tak siapa nama dia? Dani dan Ijam ke? Yang sama-sama masuk hospital dengan saya tu?” Soal Raikal lagi seperti tidak puas hati siapakah yang menulis semua ‘sticky note’ itu.

“Oh bukan-bukan. Bukan Dani dan Ijam. Saya kurang pasti siapa nama dia. Dia datang sekejap saja. Setiap kali saya nampak dia, tak sempat nak tegur, dia dah balik.” Jawab Doktor Muiz dengan tenang.

Raikal masih bingung. Macam-macam yang bermain di fikirannya. Ligat dia memikirkan siapa gerangan si penulis ‘sticky note’ itu. Di atas kertas itu penuh dengan doa dan nasihat. Seolah-olah kertas-kertas itu bercakap dengannya setiap hari sebagai penguat semangat. Dia benar-benar ingin tahu siapa orangnya.

Enam bulan koma di hospital membuatkan minda Raikal berhenti seketika. Dia seolah lupa siapakah orang-orang yang dekat denganya selain Dani dan Ijam. Tiba-tiba anak matanya tertumpu pada satu ayat di atas timbunan kertas itu.

“Seribu kebaikan yang kita lakukan belum tentu mampu melenyapkan satu kesalahan yang pernah kita lakukan pada seseorang.”

“Mud! Mahmud? Takkan dia?!” Tercengang Raikal merenung kertas itu.

Ada lagi ayat lain yang tertulis pada kertas-kertas itu, seolah menyambung kata-kata yang sebelumnya.

“Kesabaran manusia ada hadnya. Tetapi andai marah itu tidak mampu kau kawal, kau akan hanyut dalam kemarahan dan tiada sabar lagi yang menjadi had kemarahan itu.”

“Jangan marah, bagimu syurga. Sabda Nabi SAW.”

“Raikal, kau kena banyakkan selawat, tiada kata yang lebih baik daripada zikir dan tiada apa yang mampu menghantar kau ke syurga melainkan rahmat dan syafaat.”

“Mud!!! Maafkan aku, Mud!

***

Ada sebuah kisah tentang Rasulullah SAW yang tersangat meruntun jiwa. Diriwayatkan bahawa Baginda pernah dibaling batu dan najis. Baginda juga pernah dimaki dan dicaci oleh seorang pengemis buta kerana terlalu benci kepada dakwah nabi. Pengemis buta itu meminta supaya semua orang jangan mendekati nabi kerana kononnya baginda seorang gila dan ahli sihir.

Nabi Muhammad tidak pernah membalas kejahatan itu bahkan baginda sering menghantar makanan dan menyuapkan makanan tersebut ke mulut si pengemis buta itu. Sehinggakan suatu hari apabila baginda telah wafat, perbuatan baginda itu pernah dilakukan oleh salah seorang sahabatnya, Abu Bakar r.a. Abu Bakar pergi kepada si tua itu dan menyuapkan makanan seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah sebelum wafat. Si tua itu pelik, kenapa cara suapan ini begitu berbeza dengan cara suapan Rasulullah sedang dia tidak tahu itu adalah Rasulullah yang dicacinya dahulu. Pengemis tua itu bertanya, “Siapa kamu? Kamu bukan orang yang biasa menyuapku. Yang menyuap aku dahulu seorang yang sangat ramah, suapannya lembut dan memudahkan aku untuk mengunyah makanan itu.”

Abu Bakar menangis teresak-esak lalu memberitahu bahawa beliau bukanlah orang yang selalu menyuapkan si pengemis tua itu. Yang menyuapnya selama ini adalah Rasulullah SAW. Rasul pembawa Rahmat sekelian alam.

***

Sollu alannabi, Allahumma solli ala Muhammad wa ala ali Muhammad

 

Nukilan: Siti Hajar Atan, aktivis Isma DHL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *