Cina Muslim, Orang Asli terima sumbangan daging korban Isma Gombak

Oleh Mohd Faiq Naquiddin Bin Md Pazin

SELAYANG, 4 September  – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak hari ini telah menyampaikan sumbangan daging korban kepada masyarakat Cina Muslim sekitar Gombak dan Rawang.

Turut menerima sumbangan daging ialah masyarakat Orang Asli Gombak Batu 12 dan masyarakat setempat.

Komuniti Cina Muslim dan Orang Asli adalah antara kumpulan sasaran penerima daging korban program Ibadah Qurban 1438H anjuran Isma Gombak bersama Hospital Selayang.

Salah seorang penerima Ang Bee Shan atau nama Islamnya Adawiyah berkata, dia amat bersyukur dan teruja dengan inisiatif Isma Gombak dalam meraikan golongan Cina Muslim.

 “Sudah lama saya tidak memakan daging kerana kosnya yang sangat tinggi. Kali terakhir saya mendapat daging korban adalah dua tahun yang lepas. Terima kasih kepada pihak Isma dan penyumbang,” katanya.

Dua ekor lembu korban adalah hasil penyertaan ibadah korban di kalangan ahli Isma pada tahun ini.

Program sembelih dan melapah lembu korban adalah program tahunan kali ketiga diadakan anjuran bersama Isma Gombak dan Hospital Selayang.

Secara keseluruhan sembilan ekor lembu telah dikorbankan dalam program ini yang dilaksanakan secara gotong royong antara ahli Isma Gombak dengan komuniti Hospital Selayang merangkumi aktitiviti menyembelih, melapah dan memasak daging korban.

Turut hadir Yang di-Pertua Isma Gombak, Mohd Zuraidi Zakaria dan juga Pengarah Hospital, Dr Hajah Siti Zaleha Mohd Salleh.

Program ini diharapkan dapat merapatkan hubungan antara ahli Isma Gombak dengan masyarakat terutama di kawasan Gombak dalam mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang lebih taat kepada tuntutan Al-quran untuk terus bersatu padu menegakkan syariat Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *