‘Couple Seat’: Hujah DAP tidak munasabah dan tidak realistik


couple seat

Portal akbar Parti Tindakan Demokratik (DAP) baru-baru ini telah menerbitkan sebuah artikel yang mengutuk dan membantah tindakan pengurusan pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Seri Iskandar, Perak yang melarang pasangan yang tidak berkahwin daripada menggunakan kerusi berkembar atau ‘couple seat’.

Penulis, Howard Lee yang merupakan Setiausaha Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY) Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Perak dengan lantangnya mengutuk tindakan pihak pengurusan pawagam dalam penulisannya tanpa memberikan sebab yang munasabah dan alternatif bagi permasalahan tersebut.

“Jika ‘gejala sosial’ dibimbangkan, adakah pawagam tempat anak muda belajar rasuah dan korupsi, mengenali perkauman dan politik benci dan mahu mencuba salah guna kuasa?”

Penulis seolah-olah ingin mengalihkan perhatian pembaca dari pelarangan ‘couple seat’ kepada pelarangan pawagam. Howard seperti ingin menggambarkan kekolotan pihak berkuasa terhadap isu ini seolah-olah pawagam yang diharamkan.

Oleh itu, isu pawagam sebagai tempat anak muda belajar rasuah dan korupsi, mengenali perkauman dan politik benci dan salah guna kuasa tidak timbul sama sekali kerana isu yang sebenar hanyalah implikasi terhadap ‘couple seat’. Adakah ini muslihat akbar Roketkini.com untuk membangkitkan dan mensensasikan sesebuah isu? Dari sini, tidak mustahil mereka menggunakan muslihat yang sama untuk isu-isu lain yang berbangkit.

“Jika ‘maksiat’ yang dibimbangkan, mengapa larangan itu simplistik dan hanya ‘couple seat’?” Kata beliau.

Beliau kelihatan seperti tidak jelas akan maksud istilah ‘maksiat’ dan nampaknya seperti mentafsirkan maksud istilah ini dengan skop yang sangat sempit. ‘Maksiat’ tidak hanya dimaksudkan dengan seks atau zina. Dengan hanya berdua-duan bersama individu yang berlainan jantina juga dikira sebagai maksiat apatah lagi berdua-duaan di dalam tempat yang lebih mendorong manusia ke arah maksiat yang lebih besar seperti di ‘couple seat’ yang terdapat di pawagam.

Selain itu, penulis juga kelihatan seakan-akan tidak faham akan fungsi dan kegunaan ‘couple seat’ di pawagam kerana menggambarkan larangan tersebut sebagai simplistik. Secara umumnya ‘couple seat’ digunakan oleh pasangan untuk merapatkan keintiman dan hubungan ketika menonton wayang. ‘Couple seat’ merupakan kerusi berkembar tanpa penghadang dan penggunanya pasti akan bersentuhan antara satu sama lain.

Berdua-duaan di pawagam sudahpun menjadi maksiat, apatah lagi dosa dan maksiat apabila mereka bersentuhan. Sudahpun menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah dan menjauhi maksiat. Tambahan pula, sekatan itu hanyalah kepada orang-orang Islam, menurut Exco Perak.

Cinema couple seat ban only for Muslims, Perak exco says – 
See more at: http://m.themalaymailonline.com/…/cinema-couple-seat-ban-on…

 “DAPSY beranggapan sekatan dan larangan bukan cara terbaik mendidik anak muda. Sekatan dan larangan hanya memberi alasan untuk mereka memberontak,”

Penulis beranggapan sekatan terhadap ‘couple seat’ bukan cara terbaik mendidik anak muda dengan memberikan hujah bahawa sekatan ini hanya memberi alasan untuk anak muda memberontak.

Hujah ini lemah kerana terdapat banyak pawagam mahupun di dalam atau luar negara yang tidak menawarkan langsung kemudahan ini dan kehidupan anak muda berjalan normal tanpa pemberontakan. Sekatan ini hanya tertakluk kepada ‘couple seat’, bukannya mengharamkan anak muda untuk mencari hiburan di pawagam. Oleh itu, isu anak muda memberontak tidak sepatutnya timbul dalam konteks ini.

Selain itu, secara logiknya jika sekatan dan larangan bukan cara terbaik mendidik anak muda, apa pula dengan pengharaman rokok dan arak kepada golongan bawah umur, pengharaman kegiatan pelacuran, pengharaman penggunaan dadah dan pelbagai lagi jenis pengharaman terhadap anak muda? Adakah mereka mencadangkan kehidupan tanpa sekatan dan larangan yang merupakan asas dalam sesebuah peraturan? Manusia perlukan peraturan dalam hidup untuk menjamin kesejahteraan dan keamanan dalam masyarakat.

Dari pendedahan dan tafsiran dari artikel yang telah diterbitkan oleh Roketkini.com, terbuktilah mereka tidak mempunyai hujah yang munasabah serta ketandusan alternatif untuk menyelesaikan masalah sosial yang berpunca dari ‘couple seat’. Dari sini juga kita dapat melihat keberanian DAP dalam mencampuri hal dan urusan orang-orang islam dengan menentang usaha untuk mencegah maksiat dan kemungkaran oleh pihak berkuasa dalam kalangan orang Islam.

IMRAN HARITH AZMY
Tahun pertama Kejuruteraan Petroleum, University of New South Wales
Aktivis ISMA Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *