Cuci Masjid : Remaja sambut Ramadhan dan dekatkan diri kepada Allah

ARK

Oleh: Siti Nurliyana Saifollah

JOHOR BAHRU, 7 Jun – Program Cuci Masjid merupakan pembuka tirai Akademi Remaja Krim (ARK) bagi tahun 2016 di bawah kendalian Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Cawangan Johor Bahru.

Program yang dijalankan bersama masyarakat sekitar Taman Perling itu bertujuan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan juga inisiatif bagi mendekatkan remaja kepada Allah SWT.

Menurut Pengarah ARK Cawangan Johor Bahru, En. Ahmad Nor Mupangat, penyertaan remaja secara sukarela dalam Cuci Masjid ini dapat melembutkan hati mereka serta mendapat pahala berganda.

“Kami di KRIM amat komited ingin membantu menyelamatkan para remaja daripada terjerumus dalam perkara yang tidak berfaedah.

“Justeru itu, program Cuci Masjid dirangka dalam modul ARK 2016, melibatkan remaja-remaja sebagai sukarelawan, bagi membina persepsi positif masyarakat terhadap golongan remaja,” jelas beliau ketika ucapan pengenalan ARK di Masjid Istiqomah, Taman Perling, baru-baru ini.

“Remaja yang menyertai program ini sangat bertuah kerana dipilih Allah untuk mengimarahkan rumah-Nya dengan berkorban masa dan tenaga di musim cuti sekolah.

“Pengorbanan seumpama ini seterusnya dapat membentuk jiwa remaja yang kental serta hati yang lembut untuk mudah menangis dan sentiasa bertaubat kepada Allah,” tambah beliau.

Program Cuci Masjid tersebut turut diselitkan slot motivasi keremajaan bertemakan ‘Wajah Gemilang Remaja Malaysia’ sebagai penyuntik semangat kepada remaja untuk menyerlahkan lagi potensi diri mereka dalam semua aspek kehidupan.

13346155_1356534854363355_1841850061748535064_o 13308335_1356534577696716_625173808950225642_o 13308527_1356540917696082_7260445183645903706_o

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *