Demi Allah, Tiada Murabbi Seindahmu

teach-your-children-quran

Tiada murabbi yang terbaik selain daripada Nabi Muhammad SAW sendiri. Jika kita menyusuri dan menghayati sirah nabawiyah itu sendiri, kita akan dapati terdapat terlalu banyak ibrah dan pengajaran yang boleh kita ambil khususnya dalam mengesani hati-hati manusia agar lebih bertakwa kepada Allah. Cuba kita hayati dua kisah dibawah dan kita sama-sam mencari mesej utama yang cuba disampaikan oleh baginda.

Kisah 1

Rasulullah SAW telah menetapkan hukuman hudud potong tangan terhadap seorang wanita dari Bani Makhzum yang telah mencuri. Beberapa orang Quraysh yang merasa keberatan dengan hukuman itu telah meminta Usamah bin Zaid Radiallahu anhu, untuk berbincang dengan Rasulullah SAW agar diringankan hukuman tersebut atau menggugurkannya. Mereka memilih Usamah kerana mereka tahu beliau antara individu yang dicintai baginda.

Alangkah marahnya Rasulullah SAW ketika Usamah memberanikan diri menyampaikan pesanan orang-orang Quraysh tersebut seraya berkata ; “ Apakah kamu menjadi perantara untuk menggugurkan salah satu daripada hukuman Allah?”

Kisah 2

Seorang pemuda telah datang menemui Rasulullah SAWs.a.w dan berkata ; “Ya Rasulullah SAW, izinkanlah saya untuk berzina.” Sebahagian para sahabat yang mendengar sangat marah mendengar permintaan pemuda tersebut dan hampir sahaja pemuda tersebut dipukul. Namun yang mengejutkan para sahabat adalah apabila Rasulullah SAW segera menenangkan mereka dan menyuruh pemuda tersebut mendekati dirinya. Tiada langsung riak kemarahan di wajah baginda, dengan sorotan pendangan kasih sayang dan kata-kata yang lembut, baginda bertanya ; “Sukakah kamu jika apa yang ingin engkau lakukan itu menimpa ibumu, adikmu, kakakmu? “ Pemuda itu menjawab ; “Demi Allah, tidak ya Rasulullah SAW”. Baginda menyambung ; “Jika demikian, orang lain juga sependapat denganmu.”

Pemuda tadi terus termenung sejenak dan cuba mencerna dan menghayati apa yang diungkapkan Rasulullah SAW. Kemudian pemuda itu dengan tegas mengatakan “sekarang, tidak ada perbuatan yang lebih aku benci daripada zina.”

Mencontohi method komunikasi Rasulullah SAW

Pernahkah kita terfikir, mengapakah respon yang berbeza Rasulullah SAW kepada Usamah bin Zaid dan pemuda yang secara terang- terangan meminta keizinan untuk melalukan perkara yang diharamkan dalam islam?

Banyak analisis yang boleh kita kemukakan sebagai jawapan. Antaranya faktor keimanan pada kedua-dua individu tersebut dan lain-lain. Tetapi, satu perkara yang perlu kita contohi melalui tindak balas baginda ini adalah , bagaimana bijaksananya Rasulullah SAW mencari “pintu masuk” ke dalam hati seseorang agar mereka boleh menerima kebenaran.

Tidak semua jahiliyah yang perlu kepada kekerasan dan tidak semua kealpaan perlu dirai kan dengan kelembutan.

Sabda Rasulullah SAW; “Tempatkanlah manusia sesuai dengan posisinya masing-masing”. (Al-hadis)

Ustazah Madihah Ahmad
Aktivis ISMA Kuala Pilah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *