Derita Rohingya!! – Akibat Proses Burmanization Yang Keras

Oleh Mohamad Nor Fakihin Aqsa bin Mohd Nor Azam

KOTA SAMARAHAN, 4 Mac – “Rakyat Rohingya kini menderita akibat dari proses Burmanization yang dijalankan oleh kerajaan Burma sebagai satu proses asimilasi yang keras.

Proses Burmanization ini adalah proses yang bertujuan untuk menjadikan Burma sebagai satu identiti berbangsa Burma dan satu identiti beragama Buddha,” ujar Ustaz Abdul Rahman Iskandar, Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Kelantan ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Derita Umat Rohingya’ anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kota Samarahan dengan kerjasama Masjid Darul Ulum, Taman Desa Ilmu di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Naib Yang di-Pertua Isma Kota Bahru turut menyatakan bahawa antara slogan yang terkenal dicanangkan kepada seluruh etnik oleh kerajaan Burma ketika itu adalah “to be Burmese is to be a Buddhist”.

“Slogan ini secara tidak langsung telah berlaku penindasan hak etnik Rohingya yang majoritinya beragama Islam kerana proses ini merupakan satu pemaksaan kearah prinsip-prinsip de-muslimazation.

“Slogan ini bermaksud jika mahu kekal di Burma, maka perlu murtad atau keluar agama Islam.

“Jadi bagi etnik Rohingya, mereka terpaksa menolak kerana prinsip ini sama sekali bertentangan dengan prinsip agama Islam,” jelas beliau lagi.

Menurut beliau juga, etnik Rohingya yang menentang akan diseksa atau dipanggil penghapusan etnik daripada kerajaan dan tentera Burma yang majoritinya daripada etnik Maghs beragama Buddha.

Tambah beliau, mereka juga bukan merupakan penduduk asal tempatan serta berketurunan Yunnan yang bermigrasi dari China.

“Antara kekejaman yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan tentera Burma adalah memenggal kepala orang Muslim satu persatu, bakar hidup-hidup sebahagian ahli keluarga termasuk bayi dan membiarkan mereka memerhati ahli keluarganya dibakar, serta merogol perempuan dara, isteri termasuk perempuan yang mengandung di hadapan suami atau ahli keluarga.

“Selepas dirogol, jika tidak bernasib baik perut dan kemaluan mangsa akan dikerat atau kepala disembelih oleh tentera Burma serta lain-lain kekejaman yang dilakukan,” terang Ustaz Abdul Rahman Iskandar lagi.

Mengakhiri ceramah tersebut, beliau menyatakan bahawa setiap individu Muslim perlu ada rasa sensitiviti apabila tanah air orang Islam dicabul.

“Kita sebagai umat Islam perlu faham bahawa sejarah membuktikan bahawa wilayah Rakhine pernah diperintah Kesultanan Islam suatu masa dahulu.

“Jadi menjadi satu kewajipan bagi orang yang beriman untuk membela wilayah atau negeri yang dahulunya dibangun atas dasar Islam dan berusaha melaksanakan syariat dalam wilayah tersebut.

“Ia adalah tanah air orang Islam dan perasaan cintakan tanah air adalah sebahagian dari iman serta tanda kita memiliki iman yang sempurna,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *