Di Mana ada Kemahuan di Situ Ada Jalan



Oleh : Yusniati Mesra

KUALA LUMPUR, 13 Jan – “Kita bertanggungjawab atas pilihan kita.”

Demikian kata Encik Hazwan Mohamad, Akauntan Profesional kepada hampir 80 peserta Karnival Lepasan Sekolah (KLS) di Perpustakaan Negara Malaysia di sini, kelmarin.

“Sebelum ini saya mengambil aliran sains semasa SPM. Selepas keputusan SPM diumumkan saya tidak mendapat kesemua A dalam matapelajaran saya justeru saya memilih untuk bertukar haluan kepada akaun ketika peringkat diploma.

“Saya belajar bersungguh-sungguh sehingga bergraduasi dengan keputusan yang cemerlang. Saya ditawarkan biasiswa oleh syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk meneruskan pelajaran di Cardiff University United Kingdom.

“Saya menulis impian saya. Visualisasi merupakan sesuatu yang dibolehkan agama. Allah menurut persangkaan hambaNya. Saya mensasarkan yang paling tinggi dalam kehidupan. Umpamanya kalau jatuh saya cuma jatuh di bintang-bintang. Kemudian saya akan imbas impian tersebut dan berusaha untuk mencapainya.

“Pastikan juga kita memilih persekitaran yang betul serta jangan lupa bumi yang kita pijak walau setinggi mana kita melangkah,”katanya lagi sebagai sumber inspirasi kepada para peserta.

Sementara itu, Puan Hanan Othman, Eksekutif Geosaintis berkata. lepasan SPM ada banyak laluan untuk dipilih.

“Pastikan anda memilih laluan yang betul bertepatan dengan diri kita. Bidang yang sesuai untuk orang lain belum tentu sesuai untuk diri kita. Analoginya seperti gelongsor, agak sukar sedikit untuk kita berpatah ke atas semula jika kita sudah memilih untuk melalui jalan itu.

“Kita kena tanya diri kita hendak jadi apa. Saya sendiri waktu sekolah bukanlah seorang yang suka duduk berada dalam kelas. Saya suka aktiviti luar yang mencabar seperti masuk hutan dan mendaki gunung. Maka saya tidak mahu meyambung pengajian menjadi doktor ataupun jurutera walaupun ketika itu pelajar sains digalakkan untuk meyambung pengajian dalam bidang-bidang ini yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Akhirnya saya melanjutkan pelajaran di Monash University Clayton Australia dalam bidang Geosains. Bidang yang sesuai dengan diri saya. Saya bekerja dengan syarikat minyak dan gas sejurus selepas balik ke Malaysia.

“Pesan saya kepada adik-adik adalah kita kena bersedia menghadapi cabaran dan mengurus kehidupan. Sekiranya kita belum tahu untuk memilih apa sekurang-kurangnya kita menyenaraikan pilihan yang kita hendak ceburi. 

Muhd Ismail bin Muhd Adlan, salah seorang peserta KLS Kuala Lumpur ketika ditemui wartawan semalam berkata program ini banyak memberi pendedahan kepadanya untuk merancang perjalanan masa hadapannya dengan lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *