Didik anak perempuan dengan nilai-nilai Islam

1795615_10203457127817654_925617481_n

PUTRAJAYA – “Betapa bertuahnya ibu bapa yang memiliki anak perempuan kerana merekalah yang akan menjadi tabir daripada api neraka.

“Namun, anak-anak perempuan itu haruslah dididik dengan nilai-nilai Islam sejak kecil lagi kerana jika tidak dididik dari awal, cabaran untuk menjaga dan mendidik mereka akan menjadi semakin sukar apabila mereka meningkat remaja,” ujar Ketua Wanita ISMA DHL, Puan Shazamawati Zam Hashari.

Beliau berkata demikian dalam satu talkshow sempena Ekspo Buku Islam Putrajaya yang membincangkan cara-cara mendidik anak-anak.

Talkshow ini juga selari dengan Kempen Selamatkan Gadisku anjuran Wanita ISMA DHL.

Menurut Puan Shazamawati, beliau selalu menekankan kepada anak-anaknya tanpa mengira lelaki atau perempuan, bahawa Allah itu ada dan Maha Melihat, dengan itu anak-anak beliau akan terdidik untuk tidak melakukan sesuatu yang dilarang agama walau di mana sahaja mereka berada sekalipun tanpa pengawasan ibu bapa.

Tambah beliau lagi, “Daripada rahim seorang ibulah akan lahirnya seorang pemimpin Islam yang hebat seperti khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Ibunya adalah seorang anak perempuan yang taatkan perintah khalifah manakala ayahnya adalah anak kepada Saidina Umar Al-Khattab.

“Oleh itu, anak-anak perempuan haruslah mempersiapkan diri mereka menjadi seorang yang solehah sebelum dipertemukan dengan seorang lelaki yang soleh yang kemudiannya akan melahirkan generasi rabbani.”

Flyers Kempen Selamatkan Gadisku dan Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) juga telah diedarkan kepada para pengunjung ekspo yang datang bertali arus.

Nurhusna Che Hamzah
Wartawan Wanita ISMA DHL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *