Dr Anayasmin Azmi

Semuanya bermula selepas mendapati betapa sukarnya mencari bahan bacaan kanak-kanak berunsurkan Islam dalam bahasa Inggeris terutama untuk pasaran Malaysia. Jika ada pun kebanyakannya terbitan penulis luar negara yang sudah tentu harganya agak mahal.

Bertemankan minat dalam bidang penulisan, pakar perubatan dalam bidang kanak-kanak, Dr Anayasmin Azmi mula merangka idea yang dapat dihimpunkan menjadi sebuah buku cerita.

Lebih memudahkan tugasnya, dia sendiri sememangnya minat membaca pelbagai bacaan berunsurkan Islam terutama kisah Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda.

“Sebenarnya idea menghasilkan buku kanak-kanak ini tercetus selepas saya mengambil keputusan untuk mengajar sendiri anak di rumah. Biasanya saya memulakan dengan bercerita mengenai betapa bangga bergelar seorang Muslim sebelum memasuki fasa seterusnya. Memang anak-anak sangat teruja mendengar pelbagai kisah mengenai seorang Muslim.

“Untuk itu saya terpaksa menggunakan pendekatan sendiri terutama dari segi pemilihan topik untuk pembelajaran anak. Walaupun ada buku yang dijual di pasaran dalam bahasa Inggeris namun ia sangat terhad.

“Ditambah pula harganya yang agak mahal, lalu terdetik untuk menghasilkan buku cerita sendiri sesuai dengan persekitaran kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun,” katanya.

Bertugas sebagai pakar perubatan di Hospital Ampang, ia sememangnya menuntut kesabaran kerana masanya yang sangat terhad. Namun ia tidak menjadi halangan untuk Anayasmin berkarya. Ini kerana penulisan dan perubatan namun masih dalam skop yang sama iaitu kanak-kanak.

“Sejak kecil saya memang bercita-cita menjadi pakar perubatan dalam bidang kanak-kanak. Mungkin kerana saya sememangnya sukakan kanak-kanak. Menulis pula adalah hobi selepas mendapati banyak ilmu yang saya pelajari seharusnya dikongsi bersama.

“Saya harap buku ini memberi peluang kepada ibu bapa mendapatkan bahan bacaan untuk anak yang sesuai dengan umur mereka,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Monash, Australia itu.

Membaca untuk diri dan anak 

Beliau juga banyak membaca terjemahan al-Quran untuk mengetahui kisah dalam kitab suci itu supaya dia dapat mengaitkan sejarah dengan sains yang memerlukan kajian dan pemahaman mendalam agar apa yang disampaikan lebih mudah difahami.

Misalnya kisah Habil dan Qabil serta burung gagak adalah kisah istimewa yang mampu membuka minda kanak-kanak mengenai sejarah Islam.

Mempunyai empat cahaya mata berusia setahun hingga sembilan tahun, buku pertama yang dihasilkan berjudul Bedtime Reminders memberi tumpuan kepada ibu bapa yang ingin membacakan buku sebelum anak tidur.

Katanya, bayi berada dalam keadaan alpa ketika mereka ingin tidur. Pada masa ini apa saja yang dibacakan atau diucapkan akan cepat meresap ke dalam fikiran mereka. Otak bayi ibarat span yang mampu menyerap apa saja. Oleh itu sangat penting ibu bapa memperdengarkan bacaan yang positif serta alunan ayat al-Quran ketika mereka masih bayi.

Menurut Anayasmin oleh kerana di pasaran hanya terdapat buku kisah dongeng dahulu kala, dia menukar kepada sesuatu yang lebih segar iaitu penulisan dengan memasukkan kisah pada zaman Rasulullah bagi memberikan maklumat berguna kepada mereka. Jika dibacakan setiap malam kepada bayi yang belum pandai membaca ia akan memberikan kesan positif kepada minda mereka.

“Sebab itu buku yang saya hasilkan sesuai dibacakan kepada bayi sebelum mereka tidur,” katanya yang kini menetap di Korea Selatan selama dua tahun kerana mengikut suami menyambung pengajian di sana.

Selepas buku pertama mendapat sambutan menggalakkan dan dipasarkan di Singapura, Anayasmin terus mengorak langkah menghasilkan buku seterusnya. Buku kedua berjudul 5-Minutes Bedtime Reminders For Little Ones, Ziyad & Tiger Adventures Animals From The Quran manakala buku terakhir berjudul Safeeya & Kitty Playing In The Rain.

Dia juga sedang merangka untuk menghasilkan penulisan mengenai tokoh terkenal Islam dalam bahasa Inggeris.

Buat sekolah di rumah

Memandangkan tiada sekolah khusus yang menyediakan silibus pengajian Islam di Korea Selatan, Anayasmin mengambil keputusan menyekolahkan empat anaknya iaitu Umar al Faruq Rizaidi, 9, Thariq Ziyad, 6, Muhammad Musleh, 3 dan si kecil Nursafiyyah, 1 tahun di rumah mengikut jadual waktu yang dihasilkannya sendiri. Apa yang ditekankan adalah asas al-Quran dan kaitannya dengan sains harian.

“Jadual waktu bermula pada jam 6.30 pagi dengan solat Subuh berjemaah. Kemudian kami akan bersarapan bersama-sama sebelum memulakan dengan hafazan juzuk surah Amma. Saya mahu membiasakan anak dengan al-Quran dan mereka boleh mengaitkan apa saja dilakukan seharian dengan al-Quran. Kemudian beralih kepada sejarah Rasulullah sejak dilahirkan sehingga wafat.

“Memang anak saya sangat teruja untuk mengetahui kisah nabi kerana sejak kecil memang saya sudah dedahkan mereka dengan tokoh Islam berbanding watak kartun di layar televisyen,” katanya.

Tidak lengkap pengajian tanpa ilmu kemahiran hidup yang diperoleh daripada aktiviti seharian di rumah. Pada masa sama Anayasmin memberikan galakan anak-anaknya masuk ke dapur membantu membasuh pinggan, mengemas meja dan juga memasak.

Bagi menjadikan empat beradik itu tidak bosan, Anyasmin menyediakan jadual waktu yang sangat fleksibel bergantung kepada kesediaan mereka menerima pelajaran.

“Setakat ini mereka tidak menghadapi masalah malah menerima pembelajaran di rumah dengan gembira. Memandangkan saya tidak bekerja seharusnya masa yang ada digunakan sebaik-baiknya untuk memberikan ilmu bermanfaat kepada mereka,” katanya yang merancang menghasilkan buku terbaru sepanjang menetap di Korea Selatan.

Kredit – MyMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *