Fasih bahasa Melayu mesti jadi syarat mohon warganegara

BANGI, 20 Zulkaedah 1440H, Isnin – Fasih dan mampu menulis dengan baik dalam bahasa kebangsaan antara syarat penting yang perlu diutamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebelum meluluskan permohonan kewarganegaraan Malaysia, kata Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian merujuk laporan baru-baru ini mengatakan JPN menerima 111,142 permohonan kewarganegaraan di antara tahun 2013 sehingga 2018.

Dilaporkan, sebanyak 26,222 permohonan telah ditolak manakala 54,222 permohonan masih dalam proses.

Serentak itu, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi UMMAH mengemukakan beberapa cadangan kepada KDN agar proses pemberian kerakyatan dilaksanakan dengan ketat.

Katanya, tindakan itu perlu supaya kerajaan tidak memberikan kerakyatan kepada orang asing dengan sewenang-wenangnya.

Antara cadangan setiap pemohon yang mahu menjadi warganegara mestilah:

1. Fasih dan mampu menulis dengan baik dalam bahasa kebangsaan.

2. Faham Perlembagaan dan Kontrak Sosial.

3. Tinggal di Malaysia tidak kurang 40 tahun.

4. Mempunyai wang simpanan dalam bank sekurang-kurangnya RM1 juta.

5. Mempunyai kelayakan pendidikan minima ijazah atau apa-apa yang setara.

6. Diberikan tempoh percubaan dan pantauan selama 5 tahun di mana kewarganegaraan boleh ditarik semula sekiranya mereka melakukan jenayah atau apa-apa kesalahan yang serius.

7. Tidak diberikan kelayakan untuk mengundi selama 2 penggal atau 10 tahun.

8. Tidak memberikan kemudahan atau keistimewaan penuh sebagaimana rakyat lain selama satu tempoh tertentu bagi menguji kesetiaan mereka.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/07/22/fasih-bahasa-melayu-mesti-jadi-syarat-mohon-warganegara/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *