FENOMENA PANAMA DANCE MENCEMAR MALU SEORANG WANITA

Baru-baru ini, telah tular di seluruh negara pelbagai video tarian dengan tema Panama Dance menunjukkan ianya satu fenomena di negara kita. Budaya cabaran melakukan tarian yang dimuat naik oleh kebanyakan kakitangan hospital di Malaysia dan klinik-klinik kesihatan sama ada agensi kerajaan mahupun swasta dengan alasan mempromosikan gaya hidup sihat. Selepas fenomena ‘Harlem Shake’ yang pernah popular tidak lama dahulu, kini muncul pula ’Panama Dance Challenge’.

Terdahulu, Panama merupakan sebuah lagu nyanyian Matteo yang dimuat naik menerusi laman Youtube sejak tahun 2013 dan mulai popular selepas tarian itu dipersembahkan oleh artis Korea menerusi program realiti Law of The Jungle in Panama. Tarian daripada Amerika Latin ini dibawa masuk dan dijadikan satu ‘trend’ dalam masyarakat.

Kini, Panama Dance menjadi fenomena yang menjangkiti warga Malaysia bukan sahaja dalam kalangan selebriti malah anggota perkhidmatan awam. Apa yang diperlihatkan adalah aksi mereka menari berlenggok-lengok dengan pakaian uniform masing-masing.

Seorang penjawat awam telah diterapkan dengan etika profesionalisme. Satu sudut lain adalah imej penjawat awam turut tercalar dalam keseronokan menari dan penularan video tersebut. Ia membuka satu persepsi negatif daripada masyarakat terhadap penjawat awam. Secara tidak langsung, ia membuka pintu-pintu fitnah terhadap profesion mereka.

Hakikatnya ia bukanlah satu trend yang baik untuk ditiru oleh umat Islam. Benarlah hadis Rasulullah saw:
“Sungguh kalian akan mengikuti cara hidup umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hatta jikalau mereka masuk ke lubang dhob (biawak padang pasir) pun kamu pasti turut akan memasukinya.” (HR Muslim )

Itulah kesan orang Muslim yang mengikut jejak orang kafir. Jika beginilah sikap umat Islam, tidak mustahil bahawa umat Islam ada yang kelak akan mengikuti jejak Yahudi dan Nasrani dalam sebahagian perkara.

Tarian Panama adalah perangkap iblis dalam menghilangkan sifat malu wanita Islam. Ini kerana, tarian ini mencampurkan antara lelaki dan wanita baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin sehingga hilang rasa malu. Malahan, aurat wanita dan aksi-aksi yang tidak sepatutnya ditayangkan kepada umum seolah-olah tiada lagi adab dan nilai kesopanan yang sememangnya sebati dengan masyarakat kita khususnya Melayu. Tularnya video tersebut apabila rakaman-rakaman dimuat naik dan dikongsikan di media sosial. Hanyutnya masyarakat kita dalam hiburan sehingga terlupa batas-batas ikhtilat dan aurat yang mana tanpa sedar telah menjatuhkan maruah perempuan itu sendiri.

Wanita adalah ciptaan indah yang dibaluti dengan perasaan malu. Seorang wanita muslimah seharusya merasakan dirinya berharga agar tidak dimalukan dan menjadi tontonan umum. Usahlah mencari keseronokan yang akhirnya mencemarkan nilai seorang Muslimah. Apakah tarian ini lebih banyak kebaikan dan manfaat yang diperolehi untuk diri,bangsa,negara dan agama kita? Tepuk dada tanyalah iman. Ingatlah bahawa anak-anak kita sentiasa memerhatikan tingkah laku kita.

Sabda Baginda saw:
“Di antara tanda kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa-apa perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (HR At-Tirmidzi)

 

SN HERLINA BINTI TARMIZI

Setiausaha Ikatan Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Johor

Biro Media I-Jururawat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *