‘First Love Yourself’ mendapat sambutan hangat

oleh: Effa Radika Bidin

Asajaya, 10 Februari- Seramai 200 orang peserta menyertai program motivasi “First Love Yourself” yang dianjurkan oleh Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Cawangan Samarahan di SMK Hajjah Laila Taib baru-baru ini.

Turut diadakan semasa program adalah slot ceramah motivasi First Love Yourself yang telah disampaikan oleh Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Samarahan, Dr Asmah Esa. Menurut beliau, para remaja perlu tahu cara-cara untuk mengelakkan diri dari terjerumus dalam maksiat iaitu kurangkan pertemuan dan perbualan yang tidak penting dengan rakan berlainan jantina selain pandai memilih teman yang baik. Tambahnya lagi, rasa malu dan takut kepada Allah seharusnya ada dalam diri setiap para remaja khususnya remaja perempuan kerana rasa malu itu amat sinonim dengan wanita.

“Saya sangat menggalakkan program seperti ini kerana ia sangat penting untuk membina jati diri para pelajar serta mendedahkan bahaya pergaulan bebas di antara berlainan jantina yang sering dilihat terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah,” ujar Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Hajjah Laila Taib, En Md Zubir Md Yusof, dalam ucapannya. Beliau berharap pihak KRIM Samarahan terus bergiat aktif menganjurkan program sebegini.

Noor Syazwanita bt Shyariff Maulanna, salah seorang peserta berkata, dia sangat gembira menyertai program ini dan mendapat banyak manfaat tentang cara berpakaian dan pergaulan sebagai seorang Muslimah selain dapat menjadi salah seorang ahli KRIM.

Daripada 200 orang peserta, seramai 193 orang telah mendaftar menjadi ahli KRIM Samarahan.

Turut hadir pada program tersebut adalah Fara Izmyra Muzafar Shah, Setiausaha KRIM Samarahan dan Izzah Nilamsyukriyah Buang, Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Samarahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *