Formula 3M didik anak-anak

ISAC ustaz asmadi

JOHOR BAHRU, 12 Disember – Formula 3M iaitu manzil (rumah), madrasah (sekolah) dan masjid merupakan tiga elemen penting yang perlu dititik beratkan dalam mendidik anak-anak.

Menurut  Ustaz Asmadi Ahmad rumah merupakan sekolah pertama anak-anak, perlu mempunyai suasana dan persekitaran yang baik (biah solehah) dengan diterapkan sepenuhnya nilai-nilai Islam seperti solat berjemaah, tazkirah keluarga dan makan secara berjemaah sesama ahli keluarga.

Jelas beliau, Islam menganjurkan umatnya untuk bersosial dan waktu yang paling baik bagi ibu bapa dengan anak-anak adalah ketika waktu makan.

“Islam sebagai agama yang syumul telah meletakkan garis panduan yang lengkap kepada umatnya. Hal ini termasuklah masa bersosial bersama keluarga iaitu ketika makan.

Sewaktu makan, ibu bapa mudah mengetahui dan berkongsi sebarang permasalahan anak-anak, sekaligus mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan,” katanya ketika Forum ‘Membina Keluarga Sakinah’ dalam seminar ‘Ibu Bapa Soleh, Anak Cemerlang (ISAC) baru-baru ini.

Selain itu juga pemilihan sekolah untuk anak-anak perlu diambil kira, tidak hanya memilih sekolah yang berdekatan dengan rumah sahaja.

Sebaliknya, ibu bapa harus meneliti dan membuat kajian tentang sesebuah sekolah sebelum membuat keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut.

Ujarnya lagi, anak-anak perlu dibiasakan dengan masjid.

“Membiasakan anak-anak dengan masjid juga amat penting kerana ini merupakan didikan awal yang dapat menanam rasa cintakan ilmu dan kebaikan, seterusnya membentuk hati anak-anak membenci kemungkaran,” ujarnya.

Program ISAC merupakan program kerjasama antara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor dan Hospital Sultan Ismail. Program ini diadakan di Hospital Sultan Ismail.

Siti Nurliyana Saifollah

Wartawan ISMAweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *