Gadis Shell dan Jantan Miang

Beberapa hari ini, kita digamatkan di media-media sosial dan portal-portal berita berkaitan isu ‘Gadis Shell’ dimana kadbod gadis tersebut telah disalah gunakan oleh beberapa ‘Jantan Miang’ dengan melakukan aksi yang memalukan dan mencabuli kehormatan wanita tersebut. Namun sebelum itu lagi kalau kita lihat kadbod gadis tersebut memang sudah dijadikan tempat interaksi tidak langsung beberapa individu untuk beswafoto dengan pelbagai aksi, yang pada saya amat memalukan bagi lelaki yang mempunyai akhlak Islam.

Pencabulan hak asasi wanita atau secara spesifiknya kehormatan wanita bukan lagi perkara baru. Jika kita singkap sirah Rasulullah SAW di mana seorang wanita muslimah pergi berniaga susu di pasar Bani Qainuqa’, datang kepada beliau beberapa orang pemuda Yahudi yang cuba mengganggunya dengan meminta wanita tersebut menanggalkan niqabnya. Wanita itu enggan lalu tukang emas Yahudi di sebelah beliau telah mengikat kain wanita tersebut dengan baju beliau. Apabila wanita itu bangun tersingkaplah auratnya. Peristiwa ini membawa kepada pengusiran Bani Qainuqa’ dari Madinah.

Malaysia ketika ini tidak sunyi daripada kisah begini. Sering kita dengar di tempat kerja di mana lelaki-lelaki miang ini bergurau senda dengan menngunakan perkataan-perkataan lucah yang secara tidak langsung mencabuli kehormatan seseorang wanita.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan, sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan sepanjang 2010 sehingga Mac 2017 dan ini termasuk kes cabul kehormatan, sumbang mahram, rogol dan kesalahan luar tabii. Melihatkan kepada angka ini sepatutnya membuatkan kita peka akan masalah yang meruncing dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Namun apa yang berlaku ketika ini adalah masing-masing cuba menuding jari menyalahkan orang lain, sedangkan empat jari yang lain menuding kepada diri kita sendiri. Siapa yang salah sebenarnya? Wanita yang sudah kurang sifat malu atau lelaki yang tiada moral itu? Jika kita selidiki akhirnya punca utama semua ini berlaku adalah akibat runtuhnya akhlak atau moral dalam masyarakat kita keseluruhannya.

Apa yang dilakukan oleh lelaki miang yang mencabuli kadbod ‘Gadis Shell’ tidak akan berlaku secara tiba-tiba. Ia menunjukkan akhlak kotor yang membarah dalam diri mereka, bahkan ianya berleluasa di mana-mana dan tiada siapa mampu menafikan perkara ini.

Ada juga laporan berita terkini yang menyatakan di mana seorang guru ditahan kerana memiliki video dan gambar lucah. Wanita pula tidak kurangnya. Anda lihat sendiri di laman sosial berapa ramai yang tanpa segan silu memuat naik gambar masing-masing dengan pelbagai aksi yang tidak sepatutnya dilakukan bagi seorang muslimah yang dilengkapi sifat malu. Tambahan hari raya baru ini, maka masing-masing sibuk berlumba siapa yang paling comel dan cantik.

Hakikatnya semua ini hanyalah secebis contoh dari beribu-ribu ragam keruntuhan moral yang berlaku di Malaysia dimana ia berkait antara satu sama lain dan semakin meruncing saban hari. Maka siapa patut disalahkan? Puak liberal akan sibuk kononnya mempertahankan hak asasi wanita, maka biarlah mereka nak buat apa sahaja seperti tidak memakai tudung, memakai pakaian yang menjolok mata dan jadi model iklan-iklan di Malaysia. Si ‘Jantan Miang’ ini pula akan berkata, wanita itulah yang membuatkan mereka teransang, sedangkan itu hanyalah alasan kerana wanita bertudung pun mereka hentam sekali.

Jadi, tepuk dada tanya iman kita masing-masing. Bagi yang lelaki, anda mempunyai tanggungjawab besar untuk menghiasi akhlak anda dengan iman yang kukuh. Anda juga mempunyai tugas besar mempertahankan ibu anda, isteri anda bagi yang sudah berkahwin, adik-beradik perempuan anda dan anak perempuan anda.

Sanggupkah anda melihat mereka menayang sesuatu yang sepatutnya tidak ditayangkan di khalayak ramai? Tidak tercabarkah anda jika mereka ini dicabul dari segi kehormatan mereka, hatta sekecil-kecil komen jelek di laman sosial? Bagi wanita pula, hiasilah diri anda dengan sikap malu. Anda adalah golongan yang mempunyai maruah yang tinggi. Ramai diluar sana yang sayangkan anda dan tidak mahu melihat kehormatan anda dicabuli. Maka jagalah perilaku dan tatasusila anda di khalayak ramai.

Cukuplah kita bercakaran sesama kita. Jika kita masing-masing mengambil tempat dalam mengatasi barah yang semakin membusuk ini, insyaAllah satu hari nanti kita akan lihat lelaki-lelaki di Malaysia jalan menundukkan pandangan dan wanita-wanita bertudung sopan menutup aurat sebaiknya. Wallahua’lam.

Dr Anas Ghazali
Ketua Biro Komunikasi & Multimedia
Isma Kuala Pilah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *