Gadisku, engkau lebih mulia menjadi ‘role model’ bukan ‘model’

Ibu ayah, salah satu tanggungjawab dan tugas kita adalah untuk mendidik anak-anak tentang penciptaan lelaki dan wanita.

Allah telah menciptakan lelaki dan wanita secara fitrahnya memiliki daya tarikan yang amat kuat di antara satu sama lain. Kecenderungan semulajadi ini merupakan satu keperluan akar umbi bagi tujuan pembentukan dan kesinambungan hayat manusia.

Bagaimana untuk memastikan daya tarikan ini dikawal dan diurus dengan betul sepertimana matlamat penciptaan daya tarikan itu sendiri? Telah Allah gariskan di dalam surah An Nur ayat 30 dan 31. Ayat 30 khusus ditujukan buat lelaki yang beriman manakala ayat 31 ditujukan khusus buat wanita yang beriman.

Di dalam kedua-dua ayat ini, Allah memerintahkan lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan kerana itulah kaedah dan cara terbaik bagi mereka mengurus dan mengawal daya tarikan ini.

Namun di dalam ayat 31, perintah Allah tidak terhenti setakat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, tetapi Allah juga memerintahkan wanita yang beriman untuk menjaga batas aurat dan tidak menampakkannya kecuali kepada mereka yang berhak sepertimana yang telah digariskan oleh Allah di dalam ayat ini.

Perintah ini turun sesuai dengan fitrah kejadian dan penciptaan wanita itu sendiri. Wanita memiliki daya tarikan yang jauh lebih kuat berbanding lelaki. Menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan sahaja tidak cukup untuk memelihara diri mereka. Wanita wajib menutup aurat supaya ia menutup keinginan lelaki-lelaki yang tidak berhak dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik kepada mereka.

Marilah kita mendidik anak-anak tentang perkara ini. Perintahkan anak-anak lelaki kita untuk menundukkan pandangan kerana itulah punca segala kerosakan. Tanam dan pupuk kesedaran bahawa mereka adalah pemimpin bagi kaum wanita. Mereka bertangunggjawab memimpin, menjaga dan melindungi keselamatan ibu, isteri, anak, kakak, adik perempuan, saudara perempuan, rakan taulan mahupun wanita yang tidak mereka kenali.

Perintahkan anak-anak perempuan kita memelihara batas aurat di samping tanamkan rasa malu dan maruah yang tinggi kerana itulah benteng bagi memelihara keselematan diri. Keteguhan mereka menjaga harga dan nilai diri akan menyelamatkan kaum lelaki dari gelojak nafsu tidak terbatas, yang selalu mengajak manusia kepada kebinasaan.

Usah lupa juga, perintah menundukkan pandangan bukan hanya untuk kaum lelaki, tetapi juga untuk kaum wanita. Masih ingat kisah bagaimana Rasulullah saw. pernah menegur dua orang istrinya, Maimunah dan Ummu Salamah ketika Abdullah bin Ummi Maktum ra. memasuki rumah beliau, “Pakailah hijab!” Mereka berkata, “Abdullah bin Ummi Maktum itu buta.” Rasululllah saw. pun bersabda, “Apakah kamu berdua juga buta, bukankah kamu berdua dapat melihatnya?”

Anak gadisku, engkau lebih layak menjadi ‘role model’, sumber inspirasi dan contoh ikutan kerana kekuatan watak dan peranan dalam memberi sumbangan dan kebaikan. Engkau bukan ‘model’ yang rendah harga diri dan peradaban, sekadar bahan tontonan dan pusat perhatian mata-mata yang liar dan jiwa yang kekosongan.

Apa yang disebut di dalam Al Quran amat jelas. Mereka yang memilih untuk memelihara kesucian diri serta mengharap kemuliaan di sisi Allah akan taat dan patuh manakala siapa yang memilih selain daripada itu akan berbuat sebagaimana yang dikehendaki oleh hawa nafsu.

Perintah Allah tidak akan menatijahkan yang lain selain membawa kesejahteraan buat semua ahli masyarakat.

Moga Allah membimbing kita semua untuk mendidik anak-anak serta dan memberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi dalam melaksanakannya.

Maslinah Abdul Malek
Ketua Unit Keluarga Mukmin
Biro Keluarga dan Masyarakat
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *