Gejala Tarian Panama: Golongan yang disebut Rasulullah

Tarian yang dijadikan sebagai cabaran yang berasal dari negara Barat itu seolah-olah telah meresap masuk ke dalam masyarakat kita di Malaysia melalui video-video yang tular di ruangan media sosial. Lebih memalukan, apabila terdapat video yang melibatkan para penjawat awam dan swasta tanpa mengira usia turut mengambil bahagian dalam mempertayangkan aksi lenggok tarian tersebut.

Saya percaya, tanpa memahami makna bait-bait perkataan di dalam lirik lagu tersebut mereka yang mempertontonkan tarian tersebut sekadar mahu mengikut rentak dan tidak mahu rasa ketinggalan dan mahu dilihat sebagai ‘sporting’. Sedangkan tiada pengiktirafan yang bakal diterima. Bahkan tidak akan dipandang tinggi oleh Barat yang memulakan cabaran tersebut pun. Malah, mungkin mereka turut merasa jelek dan dijadikan bahan jenaka apabila melihat wanita Islam yang bertudung turut memperagakan aksi jelek tersebut.

Golongan yang menyahut ‘cabaran’ ini telah disebutkan dan diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam riwayat hadith Baginda.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Hadtih Riwayat Muslim)

Demikian Nabi s.a.w yang mulia memberi peringatan kepada kita melalui sahabat-sahabat Baginda agar kita tidak terperangkap untuk masuk ke dalam golongan yang mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani.

Semoga mereka yang telah terlibat secara lansung atau tidak lansung dalam melahirkan video tersebut akan merasa menyesal dan malu atas tindakan tersebut dan mengusahakan sesuatu untuk bertaubat kerana pesan Baginda lagi dalam sebuah riwayat Bukhari yang berbunyi

‎ إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
“Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.”

Jadilah umat Islam yang menjadi contoh kepada umat yang lain kerana kita diberikan panduan terbaik sepanjang zaman untuk kita ikuti iaitu Al-Quran dan Sunnah Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Julaibeeb bin Jamalludin
Aktivis Isma Seremban

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *