Generasi Strawberi

“Aku dulu SRP je, Madi,” katanya sambil mengelap-ngelap tangan dengan tisu putih berhabuk dari kedai mamak ini.

“Lepas tu aku berhenti sekolah. Aku memang nekad nak kerja masa tu. Dapat kerja kilang. Starting masa tu RM400 lebih je. Tapi aku memang tak puas hati masa kerja tu sebab supervisor aku waktu tu warga asing. Uii.. belagak Madi. Memang pandang orang macam tak puas hati memanjang. Aku cakap dengan diri aku sendiri, aku memang nak tendang mamat ni. Bukan tendang ngan kaki. Maksud aku, aku nak ambik alih tempat dia. Memang aku nekad sungguh-sungguh.”

Dia melempar jauh pandangan ke kereta-kereta yang sedang sibuk melintas dihadapan kedai. Seolah-olah mengimbau kembali waktu-waktu silamnya yang banyak mencorak kehidupan beliau hari ini. Memang selalu kami melepak di kedai mamak ini. Anak-anak kami bersekolah di tadika yang sama justeru selepas menghantar anak memang di sinilah tempat kami ber’mesyuarat’. Macam-macam agenda yang kami bincangkan. Hal anak-anak-anak, hal kerja, hal rumahtangga dan kadang -kadang masuk juga hal-hal politik dalam dan luar negara.

“2 bulan lepas aku masuk, aku dah confirm jawatan. Lepas tu aku susun strategi aku supaya aku punya performance lebih baik dari supervisor aku tu. Aku setup sampai aku punya team production lebih baik. Masa tu Madi, aku tak kira dah time raya pun aku pulun OT. Aku memang tak boleh tahan tengok mamat tu arah-arah orang aku. Setahun je madi, lepas tu aku dapat ambik alih tempat dia. Memang puas hati betul. Dari gaji aku RM400, aku dah dapat up gaji aku dekat 2K. Masa tu aku rasa dah banyak dah sebab aku bujang.”

Memang nampak kepuasan pada wajahnya. Meskipun umur memori ini sudah mencecah puluhan tahun dalam kotak hidupnya, tetapi sehingga ke hari ini gambaran kepuasan itu tetap dapat dizahirkan setiap kali dia bercerita.

“ Itu zaman kita dulu Madi,” sambungnya lagi.
“Zaman tu kita berhenti sekolah sebab betul-betul nekad nak cari duit.”
“Sekarang pulak budak -budak berhenti sekolah sebab malas. Bukan sebab nak kerja. Tapi sebab malas pergi sekolah. Bila berhenti menganga kat rumah tunggu mak bapak suap. Kerja tak juga,” sambungnya agak keras. Memang terselit nada tidak puas hati yang berketul-ketul.

Aku menghirup teh tarik yang baru sampai. Hari ni teh tariknya terasa kelat. Bukan sebab silap si pembuatnya, tetapi kerana realiti yang dibentangkan oleh sahabatku ini memang ada benarnya.

“Budak -budak kita sekarang ni dah hilang semangat ingin bersaing. Bising je lebih, kerja ke laut,” ujarnya dengan nada kesal.
“Aku sekarang ni nak cari budak kita yang nak kerja buat wiring ni cukup susah. Gaji minimum RM1000 sekarang ni. Tapi kerja memang tak boleh nak harap. Janji pukul 8 kadang-kadang pukul 9 pun tak sampai-sampai lagi. Belum kira waktu dia duduk menyangkut dengan telefon lagi. Bila kita tegur keras sikit, esok dah tak datang. Berhenti. Manja. Alih-alih warga Bangladesh jugalah yang datang dok memintal wayar dengan aku sampai ke petang. Aku pun tak tahu kerja macam mana lagi yang diorang nak,” ujarnya yang kini bekerja sendiri sebagai kontraktor pendawaian eletrik dan penghawa dingin.

Saya teringat kepada sebuah artikel yang saya baca berkenaan dengan ‘Strawberry Generation’. Istilah yang diperkenalkan di Taiwan yang merupakan satu label yang diberikan kepada kepada mereka yang lahir pada tahun 1981 dan ke atas. Generasi ini dikatakan terlalu ‘fragile’ atau manja disebabkan oleh keluarga yang ‘overprotective’. Kelompok generasi ini sepertimana buah strawberry yang manja dan memerlukan penjagaan yang teliti serta suasana yang selesa dan kondusif, tidak mampu menahan tekanan hidup dan tidak mahu bekerja keras. Adakah kita juga telah melahirkan generasi yang sebegini di tanahair kita.

Saya membelek-belek rujukan utama saya dalam bidang pendidikan sebaik sahaja saya pulang ke rumah. Kitab Tarbiatul Aulad yang ditulis oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan. Ada satu fasal dalam jilid ke dua buku ini di bab yang ke- 3 bertajuk memupuk minat bekerja sendiri dalam diri anak. Saya kongsikan beberapa tips menarik yang boleh kita fikirkan bersama sebagai ibubapa dan juga pendidik kepada anak-anak kita.

Antaranya adalah sarana daripada Ibnu Sina yang meminta ibu bapa dan pendidik melihat kecenderungan kerjaya atau kemahiran yang diminati anak-anak dan tunjukkan jalan kepada mereka. Jika anak minat menulis, tambahkan lagi beberapa cabang dalam pengajian bahasa. Saya mempunyai seorang abang ipar yang gigih dan komited membawa anaknya belajar berenang dan memanah. Mengorbankan masa rehat beliau dan masa senggang untuk memastikan anaknya menguasai bidang tersebut sehingga berjaya mendapatkan pentauliahan bersijil. Bagi beliau ini sebagai persiapan dan persedian kepada anaknya yang sekiranya lemah dalam akademik, ada sesuatu yang boleh beliau gunakan untuk memenuhi keperluan sara hidup apabila dewasa kelak.

Dr Abdullah Nasih Ulwan menasihati kita supaya mengenalpasti samada anak-anak kita termasuk dalam kelompok yang cemerlang akademik atau corot dalam akademik. Namun beliau tetap menyarankan agar kedua-dua kelompok ini diberikan peluang mempelajari ilmu kemahiran. Keutaamaan ilmu kemahiran harus diberi kepada mereka yang corot akademik kerana bagi beliau, memaksa mereka yang lemah penguasaan akademik kerana kelemahan IQ yang tidak secerdas anak -anak lain adalah satu kesalahan.

Membaca kalam Dr Abdullah Nasih Ulwan sebenarnya juga membuatkan saya merenung jauh. Cerdik pandai pernah berkata, anak -anak yang hebat lahir daripada ibu bapa yang hebat. Kesediaan kita untuk berkorban demi anak-anak adalah modal kita untuk memastikan kemenjadian anak-anak kita. Sejauh mana kita sanggup berkorban, sekuat itulah anak-anak akan mendapat sokongan dalam apa jua bidang yang diceburi mereka. Anak-anak ibarat kain putih. Kitalah yang harus mencorakkannya.

Asmadi Abdul Samad
Pengarah KRIM Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *