Golongan anak muda sebagai kunci utama kekuatan ISMA

SYDNEY, 8 Safar 1439 – Mesyuarat Agung Tahun (AGM) ISMA Australia bagi peringkat cawangan New South Wales 2017 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Malaysia Sydney, dengan kehadiran terbuka kepada masyarakat umum. Kehadiran yang memberangsangkan apabila mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil-wakil persatuan pelajar, mahasiswa, dan wakil-wakil masyarakat yang menetap di Sydney selain ahli-ahli Isma Australia.

Semasa sesi soal jawab yang diadakan pada penghujung majlis, seorang hadirin dengan penuh rasa ingin tahu telah mengajukan pertanyaan, “Apakah kekuatan Isma?”.

Persoalan tersebut disambut dengan jawapan oleh Ketua Biro Tarbiah (Nasional) Isma Australia, Dr Zairil Bin Zakaria.

“Satu kunci terbesar kekuatan Isma secara keseluruhannya ialah Isma digerakkan oleh orang-orang muda”, ulas beliau kerana komponen ini kurang didapati di pertubuhan-pertubuhan lain, terutamanya pertubuhan-pertubuhan Islam yang ahlinya terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

“Kami sentiasa mempunyai barisan pelapis muda yang sangat berwibawa dan berpotensi. Buktinya, barisan kepimpinan Isma Australia didominasi oleh mahasiswa dan anak muda. Anda boleh lihat juga cawangan-cawangan Isma yang lain, anda akan mendapati situasi yang sama”, kata beliau.

“Perjuangan dan sumbangan ahli-ahli kami tidak terhenti apabila habis tempoh sesi menjawat sesuatu jawatan, tetapi rata-rata apabila pulang ke Malaysia (selepas graduasi) mereka tetap komited berbakti kepada masyarakat melalui Isma di kawasan masing-masing”, tambah beliau.

Jawapan yang ringkas tersebut diulas lagi oleh Mantan ketua cawangan Isma New South Wales iaitu Saudara Imran Harith yang mempengerusikan sesi soal jawab tersebut.

“Bukan sahaja Isma dipenuhi oleh golongan muda, tetapi anak-anak muda yang berkualiti dan ikhlas berkhidmat untuk masyarakat”, tambah beliau sambil memperkenalkan jawatankuasa Isma New South Wales yang baru.

“Marilah bersama kami, Isma Australia menyediakan pelbagai platform untuk anda dan aspek pembangunan ahli merupakan prioriti yang utama. Ingat Isma, ingat Pemuda“, tambah beliau.

Konklusinya, benarlah bahawa kewujudan Isma sangat relevan dalam mengesani masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa di luar negara sebagai platform untuk beramal, berjuang dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

 

Imran Harith Bin Azmy
Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia
Ikatan Muslimin Malaysia Australia

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *