“Good governance” hanyalah Islam tempelan

Oleh: Fakhruddin Afif Fauzi

SUBANG JAYA, 20 Mac – Agenda “good governance” atau tadbir urus yang baik yang diamalkan pada masa kini bukanlah natijah kepada kefahaman Islam yang menyeluruh.

Menurut Encik Ahnaf Abdul Qais, Ketua Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Subang Jaya, tabir urus yang baik ialah amalan baik yang boleh diamalkan oleh mana-mana pimpinan tanpa mengira latar belakang agama dan ideologi kepimpinan sekalipun.

“Good governance” telah lama diamalkan oleh negara-negara seperti Korea, Jepun dan New Zealand.

“Tetapi ia tidak bermakna negara-negara ini lebih Islam daripada negara-negara Islam sedia ada, bahkan apa yang mereka amalkan bukan daripada kefahaman Islam yang mereka pelajari.

Ia (good governance) hanya berteraskan nilai-nilai baik semata-mata, tetapi penghayatan yang Islam bawa berteraskan rabbani.

Ujarnya lagi, ciri rabbani ialah setiap perilaku menjadikan hamba Allah yang Esa.

“Maka, nilai-nilai baik Islam mesti berteraskan ciri rabbani.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan “good governance” yang diamalkan oleh kerajaan pada masa kini.

Ujarnya, kefahaman Islam yang sempurna ialah yakin dan percaya bahawa Islam ialah satu-satunya agama yang memimpin dunia, seterusnya melahirkan perilaku akhlak terpuji yang berguna dalam memimpin bersandarkan prinsip syarak.

“Kalau tiba-tiba sahaja “good governance” dicanang dan diamalkan bukan berlandaskan keimanan dan pengabdian semata-mata kerana Allah s.w.t., ia hanyalah Islam yang menempel tanpa berakar umbi dalam jiwa.

“Sepatutnya pendokong-pendokong dalam mana-mana gerakan Islam telah sedia maklum bahawa Islam bukanlah agama tempelan yang boleh dipakai dan dicabut bila perlu, maka natijahkan kefahaman ini melalui pengamalan Islam yang sempurna,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *