Graduan cemerlang Korea mahu berbakti di Kemaman

Aktivis Isma Korea, Ummu Izzati Mohd Ali, telah melakar sejarah sebagai graduan sarjana wanita pertama dari Energy System & Turbomachinery Lab, Korea University, baru-baru ini. Berbekalkan minat yang mendalam terhadap subjek mekanik bendalir, Ummu Izzati memilih untuk membuat penyelidikan tentang kesan reka bentuk alat pengacau ke atas kecekapan impeller di dalam tangki untuk industri pembuatan cat. Beliau telah turut membentangkan hasil kajiannya di International Conference on Computational Heat and Mass Transfer (ICCHMMT) yang ke-10 pada Mei 2017 lalu.

Ummu Izzati, mantan Ketua Wanita Isma Korea sepanjang dua tahun, mendapat pendidikan menengahnya di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin. Berbekalkan keputusan SPM yang cemerlang, beliau mengorak langkahnya ke Korea Selatan bagi meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Korea University. Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang ijazah pada tahun 2016 dan meneruskan pembelajaran di peringkat ijazah sarjana pada tahun yang sama.

Anak pertama daripada 8 orang adik-beradik ini mengambil keputusan memilih Korea Selatan kerana beliau amat tertarik dengan kemajuan dan pembangunan pesat negara tersebut di dalam bidang kejuruteraan. Selain daripada itu, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kagum melihat para senior yang sudah merantau jauh ke pelbagai negara tapi masih lagi dapat menjaga dan menerapkan nilai islam di dalam kehidupan. Berbekalkan dua sebab ini, beliau telah berjaya menamatkan pengajiannya selama tujuh tahun di bumi yang sangat asing dengan Islam iaitu korea Selatan.

Sentuhan tarbiah yang diterimanya di Korea telah membuka sudut pandang beliau mengenai kewajipan untuk menjaga dan memelihara agama Islam sebagai seorang pelajar. Bekas graduan tajaan JPA ini juga menambah bahawa tarbiah yang beliau ikuti dengan penuh komitmen di Korea telah banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan yang beragenda. Antaranya ialah beliau belajar bahawa perjalanan hidup sebagai seorang pelajar bukan hanya bermatlamatkan kepada kejayaan akademik semata-mata, tetapi seorang pelajar perlulah mempunyai matlamat kehidupan yang lebih besar daripada itu iaitu untuk balik dan menyumbang kepada Islam dan ummah.

“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Ayat ketujuh Surah Muhammad ini menjadi salah satu penguat kepada beliau untuk terus melaksanakan dakwah dan tarbiyah di samping kesibukan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu. Tidak dinafikan sepanjang keberadaan Saudari Ummu di Korea, beliau telah banyak membantu dan merancakkan lagi agenda dakwah yang dianjurkan oleh Isma Korea. Setelah pulang ke tanah air tercinta, selain ingin bergerak aktif dengan Isma Kemaman, beliau turut merancang untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah (PhD) dan seterusnya menjadi seorang profesor yang dapat menyumbang kepada umat.

Beliau berharap agar Isma Korea dapat terus menerajui dakwah dan menjadi tempat rujukan komuniti Islam di Korea. Begitu juga buat para pelajar yang baru sampai di Korea, beliau berharap agar mereka menjadikan Isma Korea sebagai satu platform untuk mengenali Islam melalui pelbagai program menarik yang mereka tawarkan.

Isma Korea mengucapkan syabas dan tahniah kepada beliau atas kejayaan akademik dan tarbiah beliau di bumi Korea ini. Didoakan Ummu Izzati akan terus cekal mengharungi cabaran kehidupan yang akan datang dan dapat terus menyumbang kepada kejayaan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *