Hadith Niat: Rahsia Kejayaan Barat

Sungai Petani, 17 Jun – “Umat Islam hanya menumpukan pada bahagian awal iaitu ‘Sesungguhnya setiap amalan itu adalah atas apa yg diniatkan’ tetapi Barat sebaliknya menumpukan bahagian lain iaitu ‘setiap orang mendapat apa yang diniatkannya’,”demikian ujar Ustaz Annuar Salleh, Yang Dipertua ISMA Cawangan Sungai Petani dalam perkongsian beliau ketika program Iktikaf Perdana Ramadhan 2017 di Masjid Sultan Mudzaffar Shah, Sungai Petani.

Menurut beliau, sudut pandang yang berbeza ini memberi impak yang berbeza. Umat Islam terlalu menumpukan aspek kualiti dan keikhlasan amal ibadat supaya ia diterima Allah swt tetapi tidak begitu melihat intipati bahagian selanjutnya. Walaupun bahagian pertama juga tidak kurang penting, tetapi bahagian kedua ini menyimpan rahsia kejayaan Barat dalam pelbagai aspek dan bidang. Kefahaman daripada bahagian kedua tersebut, menyebabkan masyarakat Barat merasa penting untuk meletakkan niat yang kuat untuk berjaya dalam melaksanakan sesuatu dan bukan sekadar melaksanakan pekerjaan secara semberono tanpa rasa yakin atau hasrat yang kuat untuk berjaya.

Penulis buku motivasi ‘5 Prinsip Kejayaan Identiti Kelas Pertama’, Ustaz Annuar merasakan umat Islam hari ini perlu menyimpan hasrat yang kuat untuk berjaya dalam setiap urusan dan bukan hanya terikut-ikut dengan budaya atau melaksanakan sesuatu hanya kerana disuruh orang lain. Beliau menyeru umat Islam khususnya ahli ISMA untuk memperluas penghayatan makna hadith tersebut dalam menjayakan apa-apa pekerjaan.

Program Iktikaf Perdana ini adalah antara aktiviti utama ISMA di setiap cawangan di setiap akhir Ramadhan. Ahli ISMA pelbagai peringkat usia akan bersama-sama meluangkan masa beriktikaf secara jamaie di masjid sebagai inisiatif memuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Acara ini menutup tirai program-program anjuran ISMA Sungai Petani sepanjang Ramadhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *