Harga sebuah mahar

kawen

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan statistik kes perceraian sebanyak 48077 kes dari Januari hingga 10 Julai tahun ini. Jumlah ini bukan satu jumlah yang sedikit malah permasalahan ini bukan satu permasalahan yang boleh dipandang remeh. Dimanakah silap mereka dalam pengurusan rumahtangga sehingga berlakunya perceraian?

Pernahkah kita mendengar kisah hebatnya seorang wanita pada zaman Rasulullah SAW apabila meminta keislaman sebagai mahar perkahwinan mereka? Ya, wanita itu ialah Ummu Sulaim. Apabila Abu Talhah, seorang yang terkenal dengan kekayaannya ingin melamar beliau sebagai isterinya, tetapi lamarannya ditolak oleh sebab Abu Talhah bukan beragama Islam. Kekayaan dan kemewahan Abu Talhah tidak mampu menjadi jaminan dan tarikan pada Ummu Sulaim untuk menerima lamarannya.

Rentetan daripada itu, Abu Talhah berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu mengucapkan kalimah syahadah tanda menzahirkan keislamannya. Apabila Rasulullah SAW mengetahui bahawa Abu Talhah menerima Islam kerana Ummu Sulaim lalu Rasulullah menikahkan mereka berdua dengan keislaman Abu Talhah sebagai mahar mereka. Hebat bukan?

Kerana ketegasan Ummu Sulaim dalam mempertahankan kesucian Islam,menjadi faktor Abu Talhah memilih untuk memeluk Islam meskipun pengislamannya tidak mendapat restu keluarga. Beliau rela diseksa demi mempertahankan akidah yang diyakininya. Rumahtangga mereka yang dibina atas dasar keimanan pada Allah SWT dan pengabdian diri mereka di jalan jihad dalam menyebarkan dakwah bersama Rasulullah SAW. Abu Talhah bukan sekadar muslim yang biasa malah beliau adalah sahabat yang sentiasa mendampingi Rasulullah dan tersenarai sebagai antara 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga.

Moga kita sama-sama mengambil iktibar dari kisah pernikahan Ummu Sulaim dan Abu Talhah dalam membina sebuah ikatan pernikahan atas dasar keimanan kepada Allah SWT. Moga ia dapat membentuk sebuah keluarga yang yang diberkati Allah SWT dan menjadi kekuatan pada Islam dalam membentuk masyarakat yang yang mengabdikan diri pada Allah SWT seiring menegakkan syariat Islam yang syumul di muka bumi ini.

Firman Allah SWT : Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih syang Sungguh,pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir. QS Al-Rum 30:21

Sebaliknya jika sebuah pernikahan terbina atas dasar perasaan saling mencintai dan sebagainya tanpa memahami hakikat tanggungjawab yang dipikul untuk mencorakkan hubungan mereka dengan kefahaman Islam yang jelas,akhirnya perceraian menjadi pilihan.

Firman Allah SWT : “…Maka mereka mempelajari dari keduanya apa yang (dapat)memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya…” QS Al-Baqarah 2:102

Sudah tentu Islam sudah menggariskan panduan sebagai solusi untuk mengendalikan permasalahan rumahtangga. Dalamilah ilmu pengurusan rumahtangga dengan sebaik mungkin seperti mana digariskan dalam syariat Islam. Sesungguhnya kembalilah pada ajaran Islam yang sebenar adalah sebaik-baik solusi dalam setiap permasalahan. Wallahua`lam.

Oleh

Siti Nursabrina Binti Mohamad Johari

Aktivis ISMA Batu Pahat

Tahun 1 Pengajian Islam (Syariah)

Universiti Kebangsaan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *