Hari keluarga Isma PD sederhana tapi meriah

Oleh Habsah Binti Abdul Shaer

KUALA LINGGI, 21 April – Buat pertama kalinya, Hari Keluarga Isma Port Dickson telah diadakan selama dua hari satu malam di Homestay Guesthouse, Kuala Linggi Melaka pada 20 April 2018 hingga 21 April 2018. Kira-kira 55 orang ahli dari pelbagai peringkat usia telah berkumpul bersama-sama di homestay berkenaan bagi memeriahkan program hari keluarga Isma Port Dickson.

Antara objektif penganjuran program adalah Mengeratkan ukhuwah sesama ahli dan menyemarakkan semangat kerjasama, hormat-menghormati dan menanam nilai-nilai murni melalui aktiviti yang dijalankan. Pelbagai aktiviti menarik telah disusun seperti explorasi, berbeku dan permainan berasaskan air di dalam kolam renang.

Pada malam 20 April, semua peserta bergotong royong membakar ayam untuk hidangan makan malam. Kesempatan ini diambil oleh semua ahli untuk berkenal-kenalan dengan lebih rapat lagi antara satu sama lain.

Keesokan harinya, program bermula seawal 7.00 pagi dengan acara gotong royong menyediakan sarapan pagi dan dengan tazkirah oleh Yang Dipertua. Pelbagai pengalaman dan cerita dikongsi oleh generasi awal Isma Port Dickson sebagai panduan kepada generasi akan datang.

Aktiviti di bahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Semua ahli lelaki menjalankan aktiviti-aktiviti di dalam kolam renang iaitu bermain bola baling air, menganyam ketupat di dalam air dan meniup belon terbanyak di dalam air manakala ahli wanita pula menjalankan aktiviti explorasi di sekitar kawasan Kuala Linggi. Program diakhiri dengan acara penyampaian hadiah dan cenderahati.

Walaupun masa tidak panjang, namun objektif program nyata tercapai. Program ini telah mengeratkan ukhuwah sesama ahli Isma Port Dickson dan menjadi dorongan kepada mereka untuk terus beramal di medan masing-masing.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *