Hari Keluarga Isma Samarahan : Keimanan seiring, tanda kasih sayang kepada saudara

Oleh Norlia binti Salleh

Kota Samarahan, 9 Mei – “Jika kita sayangkan saudara kita, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keimanannya seiring dengan kita ataupun lebih baik,” kata Rasheedan bin Ellin dalam tazkirah ringkas yang telah disampaikannya bersempena Hari Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Samarahan baru-baru ini.

Pada slot itu juga, dia memetik sebuah hadis yang bermaksud, ‘Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri’.

Oleh yang demikian, seorang Muslim dikehendaki memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada saudara Muslimnya yang lain, dan seharusnya turut merasa apa yang dirasai oleh saudaranya. Bak kata pepatah, cubit paha kiri, paha kanan terasa.

Dia turut menambah bahawa,jika keimanan tidak ada pada diri seseorang maka kasih sayang juga akan hilang. Setelah itu, kebencianlah yang akan menguasai masyarakat sekeliling dan hal ini pasti memberikan mudarat kepada masyarakat. Justeru, kasih sayang merupakan sesuatu yang sangat penting bagi memastikan masyarakat yang harmoni.

Pada sesi penutupan, Mohamad Nor Fakihin Aqsa bin Mohd Nor Azam selaku pengarah program menyeru kepada semua agar mengubah sikap ke arah yang positif dalam setiap perkara yang dilakukan. Hal ini kerana, sikap merupakan kunci kepada segalanya dan merupakan penentu sejauh mana seseorang itu akan berjaya. Jika kunci telah salah, maka tiada apa yang dapat dilakukan seterusnya.

Antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program adalah tarik tali, kabaddi, pancing botol, lari dalam guni dan berjalan menggunakan tempurung.

Menurut salah seorang peserta, aktiviti seumpama ini sangat bagus diadakan kerana dengan ini dia dapat mengenali dengan lebih dekat ahli ISMA di kawasannya dan berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *